Tuesday, March 30, 2010

Panduan Buat Seorang Dae'i

Sewaktu Nabi SAW sedang sujud di Kaabah, datang Uqbah bin Mu’it (salah seorang pembesar Quraisy) kepadanya dengan membawa perut serta najis unta. Selepas itu, ia pun meletakkan kotoran-kotoran tersebut di atas kepala Nabi Muhammad s.a.w. Nabi s.a.w. tetap diam dalam sujudnya manakala para pembesar Quraisy yang memerhati peristiwa itu ketawa terbahak-bahak. Fatimah yang melalui kawasan itu pula menangis tatkala melihat penghinaan dan ujian yang ditanggung bapanya.


Setelah Nabi Muhammad s.a.w bangun daripada sujudnya, ia memandang pembesar Quraisy itu satu persatu. Kemudian, Nabi s.a.w. berdoa kepada Allah s.w.t. dengan menyebut setiap nama mereka yang berada di situ. Menurut kata seorang perawi hadis, setiap nama yang didoakan Nabi Muhammad s.a.w. pada ketika itu mati terbunuh sewaktu perang Badar.


Pengajaran


1- Mereka yang membawa kalimah tauhid, pasti akan ditentang oleh mereka yang tidak mahu tunduk kepada Allah. Boleh jadi secara terang-terangan dan tidak mustahil secara halus.


2- SABAR itu penting bagi seorang dai’e.Pernah rasa terguris dan terhiris? Imbas kembali sirah Rasulullah s.a.w. yang melalui saat yang lebih hebat daripada itu. Setidak-tidaknya, kita tidak pernah melalui pengalaman dipulau oleh penduduk setempat, tidak juga diburu (untuk dibunuh)… Justeru, jadikan sirah Nabi s.a.w. ini sebagai satu motivasi bagi diri kita untuk lebih kuat dan tabah dalam mengharungi dugaan serta ujian dalam berdakwah.


3- Banyakkan berdoa kepada Allah s.w.t. Kemudian, bersabarlah. Serahkan segalanya kepada penghitungan Allah s.w.t. Kita mahu orang yang menyakiti itu merasai apa yang kita rasa? Tidak perlu! Allah s.w.t. yang Saksama itu lebih tahu mana yang terbaik untuk setiap hamba-Nya. Keadilan-Nya tidak terjangkau dek fikiran. Lihat sahaja kisah di sebalik perjanjian Hudaibiyah.


4- Berbicara tentang doa, Nabi s.a.w. pernah bersabda,
“Akan dimakbulkan doa selagimana ia tidak gopoh dengan Tuhan.”Sahabat bertanya,“Apakah yang dimaksudkan dengan gopoh itu, wahai Muhammad?”Nabi SAW menjawab,“Iaitu orang yang berkata, aku sudah berdoa dan berdoa tetapi masih tidak dimakbulkan oleh Allah.”


Fikir-fikirkan dan renung-renungkan…


Muthiah : Pernah terguris. Apa yang Muthiah buat? Berdoa dan solat! Serahkan segalanya kepada penghitungan dan keadilan Allah.


"Tidak ada yang lebih manis dalam kehidupan ini melainkan tatkala berjaya mencapai kemanisan iman dan mengecap cinta Ilahi," Muthiah Habibatullah, insya-Allah.


Cuba bandingkan dengan apa yang kita telah, sedang dan akan tempuhi dalam kehidupan kita sehari-hari....

No comments: