Tuesday, June 17, 2008

BANGKITLAH WAHAI SAHABATKU,

Assalamu'laikum w.b.t.,

Keadaan yang melanda dunia menunjukkan betapa peri pentingnya umat Islam kembali kepada Islam yang sebenar yang berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Tinggalkanlah segala bentuk Islam yang 'ditampal dan ditopengkan' dengan campuran sekularisme, nasionalisme, kronisme dan berbagai-bagai 'isme' lagi yang sengaja direka oleh mereka yang tidak mahu melihat Islam kembali tertegak senabai panduan hidup yang sebenar buat seluruh umat manusia amnya. Kita seringkali tertipu dengan dakyah yang menyatakan itu Islam, ini Islam dan berbagai-bagai lagi.


Sekiranya yang bercakap itu mengamalkan Islam yang sebenarnya, mana mungkin beliau melakukan perkara-perkara yang jelas dilarang oleh Islam. Penindasan, kekejaman, rasuah, kronisme, nepotisme dan hijab dalam Islam sentiasa dipinggirkan. Tiada suara yang boleh menyatakan yang hak sekalipun perkara tersebut sememangnya dituntut dalam Islam.


Manusia yang bertopengkan Islam itu lebih merbahaya dari mereka yang jelas secara terang-terang menolak Islam kerana ia akan menjadi 'barah' dalam diri yang akhirnya merosakkan seluruh anggota badan dan penghujungnya adalah kemusnahan. Sedarlah wahai sahabat-sahabatku, umur yang dianugerahkan ole Allah s.w.t. kepada kita tidaklah lama, maka pergunakanlah umur kita yang masih tersisa ini untuk bangkit berjuang menegakkan kebenaran, menentang kemaksiatan yang menyelubungi umat Islam kini. Kalau bukan kita yang bangun menegakkan Islam, siapa lagi yang boleh kita harapkan?


Bersama-samalah kita berjuang menentang kezaliman tanpa rasa takut dan gundah demi Islam yang tercinta. Berjuanglah dengan ilmu yang penuh di dada bukannya dengan kosong pemikiran.
Allahhu Akbar.


Wassalam.

Wednesday, June 11, 2008

DUNIA OH DUNIA!!!...

Dirawikan dari Ummi Munzir, dia berkata: "Pada suatu petang Rasulullah s.a.w. keluar menghampiri orang ramai sambil berkata,: "Wahai manusia, tidakkahkamu malu kepada Allah s.w.t.? Mereka bertanya: "Apa pula itu ya Rasululah s.a.w.?" Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Engkau mengumpulkan apa yang tidak engkau makan, engkau berangan-angan apa yang tidak engkau tidak temukan dan engkau membangun apa yang tidak engkau tempati."

(Dipetik daripada buku Penenang Jiwa oleh Imam Al-Ghazali)

Dari hadith ini kita dapat mengambil kesimpulan bahawa dengan apa yang berlaku di saat-saat akhir ini menunjukkan betapa ramai mereka yang berperangai sedemikian. Sanggup mengambil hak orang lain demi untuk memenuhkan kantung dan perut sendiri, sanak-saudara dan rakan taulan yang terdekat tanpa mengira ianya mengikut garispanduan Islam ataupun sebaliknya.


Alasan-alasan yang diberikan dalam menjayakan niat jahat dan kotor mereka ini langsung tidak menunjukkan ada kebenarannya. Tipu-daya ini menurut sangkaan mereka dapat memadamkan kebenaran yang bakal menjelma. Tidak sama sekali. Sebenarnya mereka menipu diri mereka sendiri dengan penyaksian palsu dan taktik kotor yang direka-reka. Mereka sanggup menindas golongan yang sememangnya miskin dan memerlukan pertolongan. Makin banyak tipu-daya, semakin jelas terbukti kejahatan mereka di mata masyarakat. Ingatlah bahawa doa' mereka yang dizalimi itu tiada hijabnya dengan Allah s.w.t. Semoga Allah s.w.t. memberikan mereka hidaya dan petunjuk-Nya agar mereka ini kembali ke jalan yang benar yang diredhoi oleh Allah s.w.t.


Wallahhu'alam.

SYAIR NASIHAT (2)

"Semalam kau lewat sebagai saksi yang adil,
Harimu ini juga menyaksikan perbuatanmu,
Jika semalam engkau berbuat buruk,
Lipatkanlah kini dengan kebaikan, engkau terpuji,
Jangan kau tunda perbuatan baikmu sampai esok,
Barangkali esok akan datang tapi engkau telah tiada."


(Oleh Muhammad Bin Basyir yang dipetik daripada buku Penenang Jiwa karangan Imam Al-Ghazali)

FIKIRKANLAH....

Sabda Rasulullah s.a.w.:


"Untunglah orang yang dari tangannya mengalir kebaikan dan celakalah orang yang dari tangannya mengalir keburukan."


(Dipetik daripada buku Penenang Jiwa oleh Imam Al-Ghazali)


Oleh yang demikian, taburlah kebaikan dengan sebanyak-banyak selagi hayat dikandung badan dan selagi kita masih hidup. Keburukan yang berlandaskan nafsu serakah hanya menjerumuskan seseorang itu ke lembah kehinaan dan amat rugilah bagi mereka apabila tiba di hari pembalasan kelaka. Kita jangan tertipu dengan dunia yang sementara ini tetapi jadikan ianya sebagai jambatan untuk kita menuai hasilnya di akhirat kelak. Sedarlah wahai insan.....

Tuesday, June 10, 2008

SYAIR NASIHAT

"Wahai orang yang tertipu oleh dunia!
Siang kau tidur dan malas,
Malam pun kau tidur dan hina,
Kau tertipu oleh sesuatu yang fana',
Kau bahagia dalam khayalan,
Persis orang tidur yang tertipu dengan kelazatan,
Akhir kesibukanmu hanyalah kebosanan,
Demikian kehidupan haiwan-haiwan."


[Karya Mus'ar Bin Kaddam yang sering diperdengarkan oleh Umar Bin Abdul 'Aziz]

LARANGAN BERBUAT ZALIM

Firman Allah s.w.t.:
"...nanti akan tahu orang-orang yang aniaya, ke tempat mana mereka akan kembali."
(Asy-Syu'ara:227)
Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
"Penganiayaan adalah kegelapan di hari kiamat."
"Barangsiapa yang menganiaya sejengkal saja dari tanah, Allah s.w.t. akan mengalungkan tujuh bumi kepadanya di hari kiamat kelak."
Oleh yang demikian, renunglah dan insaflah wahai mereka yang mengaku Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan hidup supaya tidak berlaku zalim pada mana-mana makhluk Allah s.w.t. di muka bumi ini. Sebagai pemimpin khasnya, berlaku adillah dalam menjalankan pemerintahan negara dengan memberikan perhatian pada segenap aspek sebelum melaksanakan sesuatu peraturan atau undang-undang. Sesungguhnya setiap apa yang dilakukan oleh setiap insan akan diperhitungkan walau sekecil perkara yang dilakukan sekalipun, inikan pula dalam hal pemerintahan negara, kezaliman adalah sesuatu yang amat dimurkai oleh Allah s.w.t. Contohilah pemerintahan yang dijalankan oleh Rasulullah s.a.w., Khulafa' Ar-Rashidin dan kepimpinan para ulama' yang mementingkan tanggungjawab terhadap Allah s.w.t. sebagai pelaksanaan utamanya. Ingatlah bahawa kehidupan ini ibarat roda yang sedang berpusing, yang aman apabila kita berada di atas, janganlah pula dilupakan mereka yang di bawah yang memerlukan pembelaan dari kita sebagai pemerintah. Renung-renungkanlah...

Thursday, June 5, 2008

CIRI-CIRI PEMIMPIN ISLAM

Pemimpin yang bercirikan kepimpinan Islam merupakan pemimpin yang bakal merobah dan melakar satu inisiatif yang jitu ke arah melahirkan masyarakat yang berwibawa yang berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Kewajipan melantik pemimpin yang sedemikian adalah merupakan satu tanggungjawab yang tidak dapat disangkal lagi buat setiap insan yang mengungkap dua kalimah syahadah, ini kerana pemimpin adalah merupakan khalifah Allah yang mentadbir urusan kehidupan yang berlandaskan petunjuk yang sebenar dan hakiki. Kepincangan dalam pemilihan ini sebenarnya boleh membawa kepada lenyapnya keadilan dan keamanan dan seterusnya akan meletusnya kemungkaran dan kerosakan yang yang akan mewujudkan kezaliman, penindasan dan segala macam maksiat yang berleluasa tanpa sebarang sekatan lagi.

Maka tidak hairanlah, Islam telah menjanjikan kedudukan yang tinggi kepada para pemimpin yang adil dan mereka inilah pewaris para nabi yang sentiasa menjaga kesucian agama Allah daripada terus dicemari. Justeru itu, islam telah melakarkan kepada kita beberapa ciri yang perlu ada pada umara-rabbani ini, antaranya:

1. Islam - Pemimpin itu mestilah seorang muslim yang benar-benar menghayati agamanya. Ini kerana Islam tidak membenarkan adanya golongan kafir yang memerintah umat Islam;
2. Adil - Sifat ini perlu dimiliki oleh pemimpin umat Islam, ekoran betapa pentingnya tampuk pemerintahan yang dipegangnya itu. Ia adalah ibarat penyaksian kepada terlaksananya hukum Allah atau tidak di muka buminya ini. Sebagiman syarat penerimaaan syahadah dalam hukum jenayah memerlukan sifat adil ini, maka apatah lagi tugas besar memimpin umat Islam;
3. Ilmu - Golongan ulama dan umara perlu digabungkan untuk membentuk satu kesatuan bersepadu merencanakan arah geraknya masyarakat Islam didalam kehidupan seharian.Apatah lagi kalau sifat ini dimiliki pula oleh seorang pemimpin yang berwibawa dan berhemah tinggi.
4. Melaksanakan hukum Allah.
5. Tidak berlaku zalim.

Ada dinyatakan oleh Al-Imam Hasan Al-Basri kepada Amirul Mukminin –Umar bin Abd Aziz ketika ditanya tentang apakah kriteria sebenar seorang pemimpin umat Islam dengan katanya,

"Sesungguhnya Allah telah menjadikan para imam yang adil itu adalah pembaiki kepada kerosakan, pembetul kepada penyelewengan, pemusnah kepada kezaliman, dan pembela kepada yang lemah, pembantu kepada yang dizalimi; dialah yang melaksanakan hak-hak Allah kepada hambanya, mendengar ayat-ayat Allah dan memperdengarkannya kepada rakyatnya, melihat tanda kekuasaaannya dan memperlihatkannya kepada mereka, berjalan diatas tali Allah dan mengajak manusia bersamanya;..dia umpama seorang hamba kepada para rakyatnaya – menjaga harta dan juga keluarga tuannya, tidak sekali-sekali menghukum dengan cara jahiliah dan mengikut hawa nafsu mereka, tidak menyelusuri jalan orang-orang yang zalim, tidak bersifat dengan golongan pembesar mustakbirin dalam menindas golongan lemah mustada’fin, dialah penjaga anak yatim, pembantu kepada orang-orang miskin, mendidik anak-anak mereka dan menjaga kaum tua mereka."

Beginilah syakhsiah yang kita cari, dan inilah kriteria kepimpinan yang diimpikan oleh Islam dalam masalah ini. Cuma apa yang diharapkan ialah mereka ini mampu untuk melaksanakan perintah dan hukum Allah diatas bumi ini.

Sebagai renungan untuk kita semua, kewajipan menegakkan hukum Allah di muka bumi Allah s.w.t. ini adalah satu kewajipan yang mesti dipikul oleh semua umat Islam. Maka, marilah kita sama-sama bangun dari tidur yang lena di atas tilam ’momokan pembohongan’ yang diwar-warkan oleh mereka yang bertopengkan Islam. Islam mesti ditegakkan di bumi Allah s.w.t. ini. Bersama-samalah kita tekadkan azam dalam menegakkan Islam yang suci ini di muka bumi Allah s.w.t. sebagai satu ad-deen yang syumul, Allahhu Akbar!