Friday, July 11, 2008

Sekadar coretan....

Sejak akhir-akhir berbagai kegemparan telah menyapa sebilangan umat Islam di Malaysia yang selama ini memandang sepi tentang betapa kewajipan melaksanakan Hukumj Hudud, Qisas dan Ta'zir merupakan satu tuntutan wajib yang mesti dilaksanakan. Apabila berlakunya perkara-perkara yang melibatkan kesalahan jenayah yang menggoncang maruah seseorang, barulah kita mula tersentak dari mimpi yang enak tentang kewujudan Hukum Islam itu sendiri.


Keadaan ini seolah-olah kita memilih kewajipan yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. sebagaimana yang tercatat dalam Al-Quran dan diperincikan oleh As-Sunnah Nabi Muhammad s.a.w. mengikut semahu kita sahaja. Yang mana kita suka kita ambil, dan yang tidak berkenan di hati kita tolak mentah-mentah.


Sedih sungguh bila melihatkan inilah realiti umat Islam sekarang. Islam itu syumul, mengapa tidak diambil keseluruhannya tetapi juzuk-juzuk yang tertentu sahaja? Zalim sungguh kita. Dengan perbuatan kita sebegini, kita seolah-olah menafikan kesyumulan Islam itu sendiri. Apa bezanya kita dengan kaum yahudi dan nasara?


Marilah kita sama-sama berjuang bagi menegakkan Ad-Deen Islam yang suci ini di muka bumi Allah s.w.t. sebelum kita mengakhiri hayat kita ini. Biarlah nyawa sekalipun yang menjadi taruhan kerana habuannya nanti amatlah tinggi; Syurga yang menanti.


Runtuhkan dan hapuskanlah jahiliyyah dan tegakkanlah Islam di atas keruntuhan jahiliyyah tersebut. Semoga kita mendapat petunjuk dan hidayah daripada-NYA. AMIN!

PERISTIWA MUBAHALAH

Peristiwa Mubahalah: Islam dan Globalisasi Kepimpinan

Kita sudah pasti tidak boleh menyangkal bahawa tabi’i alam berjalan sejajar dengan ketentuan-ketentuan, peraturan-peraturan dan norma-norma yang diperlukan oleh manusia. Ini beerti bahawa seluruh kehidupan manusia terikat kepada satu sistem yang bertujuan untuk memelihara kebaikan dan kebahagiaan di dalam kehidupan mereka. Oleh sebab itu pencipta semesta ini tidak sekadar mewujudkan ketentuan-ketentuan, norma-norma dan peraturan-peraturan tersebut bagi menghasilkan kehidupan yang baik untuk mereka, tetapi serentak dengan itu limpahan dari kerahmatan maha pencipta alam ini juga telah didatangkan melalui satu ‘sistem ketuhanan’ yang bermatlamat untuk memartabatkan manusia dengan nilai-nilai kemanusiaannya.

Perutusan para anbiya a.s. adalah peneraju-peneraju semasa yang membimbing manusia ke arah perlaksanaan sistem tersebut secara praktikal, dan Allah s.w.t. tidak akan meninggalkan manusia tanpa penaru semasa yang membolehkan manusia bergerak bebas di bawah sistem ketuhanan itu. Allah s.w.t. befirman:

Yang bermaksud: “Dan tidak ada suatu ummat pun melainkan telah berlalu padanya seorang pengancam”. (Fatir: 24)

Setelah berakhir satu siri perutusan para anbiya a.s. ini sistem ketuhanan tersebut tetap berterusan bagi mengekalkan kemurnian hidup manusia. Oleh yang demikian Allah sw.t. telah menyatakan dengan jelas mengenai saringan generasi kepimpinan yang telah disaring dari generasi para anbiya a.s. ini sebagaimana ditegaskan oleh Al-Quran yang mulia.

Yang bermaksud: “Dan Allah telah menjadikannya (kalimah tauhid) sebagai kalimah yang berkekalan pada generasinya (Ibrahim a.s.) semoga mereka kembali”. (Az-Zukhruf: 28)

Oleh kerana tujuan kedatangan Islam adalah untuk kesejahteraan seluruh manusia, maka status dan skop kepimpinan yang telah ditaja oleh Islam adalah selaras dengan tujuan kedatangannya. Ini dapat dilihat di dalam semua aspek kehidupan manusia, kerana itu sejarah memaparkan Nabi Ibrahim a.s. menerima perlantikan Allah s.w.t:

Di dalam ayat tersebut: “Sesungguhnya aku menjadikan engkau pemimpin (imam) kepada seluruh manusia” (Al-Baqarah: 124)

Di dalam ayat tersebut Allah s.w.t. tidak hanya sekadar menyatakan bahawa kuasa mutlak di tangannya untuk melantik pemimpin dengan menyebutkan perkataan ‘Ism-ul-Fa’il’ (kata nama pembuat) iaitu ‘Ja’ilu-ka’, tetapi Allah s.w.t. juga menyebutkan skop kepimpinan dan seterusnya iaitu dengan perkataan ‘Lin-Nas’ dan ‘Imama’. Kepimpinan di dalam bentuk ini berterusan hingga ke zaman pesuruh Allah s.w.t. terakhir, di mana skop dan status kepimpinannya mengatasi para anbiya a.s. terdahulu.

Kerana itu peristiwa ‘Mubahalah’ yang diperlakukan oleh Allah s.w.t. di saat-saat terakhir hayat Rasulullah s.a.w.a. adalah satu peristiwa yang tidak hanya sekadar dipandang dari aspek cabaran Islam mengatasi seluruh agama yang lain, tetapi semestinya dipandang dari aspek penerusan garis kepimpinan yang ditinggalkan oleh baginda dengan penampilan individu-individu tertentu di dalam peristiwa tersebut. Ini beerti sebelum Islam menutup siri perutusan para anbiya Islam telah memperkenalkan garis kepimpinan yang berwibawa untuk merealisasikan tugas kepimpinan yang global ini.

Al-Quran memaparkan peristiwa tersebut bagi memperjelaskan kedudukan Ahlul Bait Rasulullah s.a.w.a. sesudah sekian banyak ayat-ayat yang diturunkan berhubung dengan kedudukan Ahlul Bait baginda, tetapi peristiwa dan ayat yang berhubung dengan peristiwa ini menampilkan suatu pengertian yang luas dan bertujuan menyingkap semula konsep kepimpinan di samping merupakan satu peringatan menjelang peristiwa ‘Al-Ghadir’. Ini beerti bahawa pengingkaran terhadap ‘Ayat-u-Tabligh’ dan hadis ‘Al-Ghadir’ menyanggahi realiti peristiwa Mubahalah ini, di mana pendedahan skop dan status kepimpinannya adalah lebih besar. Allah s.w.t. befirman:

Maksudnya:
“Maka barang siapa yang membantahmu mengenainya (agama) sesudah datang pengetahuan kepadamu, katakanlah kepada mereka: Marilah kita mengajak anak-anak kami dan anak-anak kamu, perempuan-perempuan kami dan perempuan-peempuan kamu, diri-diri kami dan diri-diri kamu, kemudian kita bermubahalah (dengan berrdoa dan memohon) menjadikan la’nat Allah ke atas ke atas orang-orang yang berdusta”
(Al-Imran: 61)

Najran dan peristiwa Mubahalah

Di semenanjung tanah Arab, Najran adalah wilayah yang paling penting bagi orang-orang Nasrani, terletak bersempadan dengan dengan Yaman dan Hijaz, sebuah daerah pertanian yang subur, terkenal dengan perusahaan menenun sutera, pembikinan senjata dan barangan kulit. Bumi ini adalah laluan pendagang yang terdekat mengarah ke hirah, melahirkan banyak penyair yang terkemuka. Penduduk Najran sewaktu ketika dahulu sebelum beragama Nasara mereka adalah penganut-penganut agama orang-orang Arab. Di bumi inilah berlaku peristiwa pembakaran beramai-ramai ‘Ashab Ul-Ukhdud’ yang diceritakan Al-Quran.

Kaum Nasrani berjaya mengekalkan kekuasaan meraka di Najran selepas menumpaskan Zu Nuwwas dari kaum Yahudi yang telah menyerang bumi tersebutdan kejayaan ini membawa penguasaan mereka di selatan Habsyah dan di utara Rom. Inilah detik-detik kaum Nasrani Najran berada di puncak keangkuhan mereka sebagaimana keangkuhan kaum Yahudi sebelumnya. Mereka telah membina sebuah Ka’abah di Najran di sebabkan kedengkian mereka terhadap Ka’abah di Makkah. Yaqut telah menyebutkannya di dalam ‘Mu’jam Ul-Buldan’ (Jilid 8 : muka surat 264):

Dan Ka’abah Najran ini dikatakan telah dibina oleh Banu Abdul Madan bin Ad-Diyan Al-Harisi mengikut bentuk binaan Ka’abah, mereka memulia dan mengagung Ka’abah tersebut serta menamakannya ‘Ka’abah Najran’ di dalamnya para asaqifah beribadat.

Penguruasan ‘Ka’abah Najran’ dibahagikan kepada tiga jabatan yang dipertanggungjawabkan kepada tiga orang. Jabatan yang mengurus urusan luar mengurus luar mengenai hubungan di antara qabilah dengan mereka sebagaimana yang kita namakan pada hari ini kementerian luar disandang oleh ‘As-Sayyid’ yang namanya ialah ‘wahab’, di mana ia merangkap sebagai pemimpin di dalam peperangan yang kita namakan menteri peperangan atau menteri pertahanan. Jabatan yang mengurus urusan dalaman yang kita namakan pada hari ini kita namakan kementerian dalam negeri yang di sandang oleh ‘Al-‘Aqib’ yang namanya adalah ‘Abul Maseh’, jabatan yang mengurus urusan keagamaan yang kita namakan pada hari ini menteri agama yang disandang oleh ‘Al-Usquf’ yang namanya adalah ‘Abu Marisah’.

Kaum Nasrani Najran telah mengutus ketiga-tiga mereka bertemu Rasulullah s.a.w.a. dan baginda telah berhasrat untuk bermubahalah dengan mereka, tetapi mereka telah memohon perdamaian dengan baginda, walaubagaimanapun Rasulullah telah menulis sepucuk surat kepada mereka dengan mengenakan beberapa syarat. Selepas Abu bakar menyandang jawatan khalifah dihapuskan yang demikian itu, ketika umar mengambil alih jawatan tersebut, beliau telah memuliakan mereka dan membeli harta mereka.

Pembahasan mengenai penurunan ayat ini

Di dalam sahih muslim, dari riwayat Amir bin Saad bin Abi Waqqas daripada bapanya ia berkata: “Muawwiyah bin Abi Sufyan menyuruh Saad dengan berkata: Apakah yang menghalangmu dari mencaci Abu Turab (Imam Ali a.s.)?. Ia ( Saad ) menjawab: Ada pun telah diperingatkan kepadaku tiga kali di mana Rasulullah s.a.w.a. telah berkata ketiga-tiganya maka aku tidak akan mencacinya, kerana sesungguhnya ia adalah bagiku satu-satu yang paling aku kasihi dari seluruhnya. Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w.a. bersabda mengenainya di waktu baginda meninggalkan Ali r.a. di dalam beberapa peperangan, maka Ali r.a. telah berkata kepada baginda: “Wahai Rasulullah!, engkau tinggalkan aku (tidak ikut serta di dalam peperangan) bersama perempuan-perempuan dan kanak-kanak.” Rasulullah s.a.w.a. menjawab: “Tidakkah engkau redha bahawa engkau menjadi di sisiku kedudukannya sama dengan kedudukan Harun di sisi Musa kecuali sesungguhnya tidak ada lagi seorang Nabi sesudahku. Aku juga telah mendengar baginda bersabda di hari (perang) Khaibar: “Aku akan berikan besok panji-panji kepada seorang lelaki yang cintakan Allah dan Rasul menyintainya.” Ia berkata: Kami telah membentang kepadanya (panji-panji). Maka baginda bersabda: “Panggillah Ali untukku.” Kemudian Ali telah datang dengan mata yang sedang sakit, maka baginda telah meludah ke dalam kedua belah matanya dan menyerahkan panji-panji kepadanya dan Allah s.w.t. telah memberikan kemenangan di dalam tangannya. Sewaktu turun ayat ini: “Katakanlah kepada mereka, marilah kita mengajak anak-anak kami dan anak-anak kamu, perempuan-perempuan kami dan perempuan-perempuan kamu, diri-diri kami dan diri-diri kamu kemudian kita bermubahalah. Rasulullah s.a.w.a. telah memanggil Ali, Fatimah, Hassan dan Hussain dan berdoa: Ya Allah tuhan kami, mereka itulah Ahlul Baitku” [1].

Ibnu Hajar Al-Asqalani di dalam “Fathul Bari” ( Syarah Al-Bukhari ) telah berkata selepas menyebut hadis ini yang diriwayatkan oleh muslim dan At-Tarmizi mengikut lafaz tersebut dan di sisi Abi Ya’la daripada Saad dengan bentuk yang lain. Beliau telah berkata: “Jika sekiranya diletakkan gergaji di atas kepalaku untuk aku mencaci Ali, aku tidak mencacinya sama sekali selama-lamanya. Beliau juga berkata hadis ini ialah hadis ‘Al-Manzilah’ (iaitu hadis tentang kedudukan Imam Ali a.s.) yang diriwayatkan juga daripada Rasulullah s.a.w.a. melalui jalan yang lain daripada Saad dari hadis Umar, Ali sendiri, Abu Hurairah, Ibnu Abbas, Jabir bin Abdullah, Al-Barrak, Zaid bin Arqam, Abi Said, Jabir bin Samrah, Anas bin Malik, Habsyi bin Janadah, Muawiyah, Asma’ binti Umais dan lain-lain. Dan beliau berkata bahawa hadis tersebut mencangkupi jalan-jalan daripada Ibnu Asakir di dalam ‘Tarjumah Ali r.a.. [2]

Imam Annawawi menyatakan di dalam syarah muslim sehubungan dengan memberikan komentar terhadap teks riwayat yang berbunyi: “Sesungguhnya Muawiyah telah berkata kepada Saad bin Abi Waqqas: Apakah yang menghalangmu dari mencaci Aba Turab?”. Beliau berkata: “Para ulama telah berkata bahawa hadis-hadis yang telah diriwayatkan itu adalah pada lahirnya menyentuh para sahabat ( Rasululah s.a.w.a. ) wajib ditakwilkannya. Mereka berkata ianya tidak ada di dalam riwayat-riwayat yang siqaat (kepercayaan). Maka pertanyaan Muawiyah ini tidak menunjukkan pengertian yang jelas padanya bahawa sesungguhnya ia menyuruh Saad mencaci Ali r.a.. Tetapi hanyasanya ia ( Muawiyah ) telah bertanya kepadanya (Saad ) tentang halangan baginya untuk mencaci, seolah-olah ia berkata, adakah engkau telah terhalang disebabkan oleh kerendahan diri atau takut atau selain daripada yang demikian itu. Jika sekiranya kerana kerendahan diri dan kebesaran tentang membuat cacian, maka engkau betul dan baik. Tetapi sekiranya selain daripada yang demikian itu, maka baginya jawapan yang lain pula. Dan boleh jadi Saad sesungguhnya telah berada dalam satu golongan (yang) mereka itu mencaci Ali r.a., maka ia tidak bersama-sama dengan mereka dan tidak mampu untuk mengingkarinya ataupun mengingkari terhadapnya. Dengan itu ia telah bertanya tentang soalan ini. Mereka juga (para ulama) telah membuat andaian dengan dua takwil yang lain iaitu maknanya apakah yang menghalangmu untuk menyalahkannya di dalam perkara pandangan dan ijtihadnya. Maka zahirkah kebaikan terhadap manusia, akan tetapi pandangan kami dan ijtihad kami ini adalah sesungguhnya salah”.
Hadis tersebut diriwayatkan juga oleh Tarmizi di dalam sahihnya [3], Ahmad Ibnu Hanbal di dalam Musnadnya [4], dan An-Nasai di dalam Khasaisnya [5].

At-Thabari telah mengeluarkan banyak hadis mengenai ayat di atas melalui berbagai jalan daripada Zaid bin Ali, daripada Sadi dan Qatadah, daripada Sanaa bin Zaid dan daripada Al-Yasykiri [6] As-Syayuthi di dalam Ad-Dur Ul-Mansurnya menukilkannya daripada Jabir dan menyebutkan di akhirnya bahawa Jabir telah berkata: ‘diri-diri kami dan diri-diri kamu ialah Rasulullah s.a.w.a. dan Ali r.a. dan anak-anak kami ialah Hassan dan Hussain dan perempuan-perempuan kami ialah Fatimah. [7]

Al-Wahidi An-Naisaburi di dalam Asbab Un-Nuzulnya telah menyebut di akhirnya bahawa As-Syakbi telah berkata: Anak-anak kami ialah Hassan dan Hussain perempuan-perempuan kami ialah Fatimah dan diri-diri kami ialah Ali bin Abi Talib r.a. [8]. Al-Qanzuri Al-Hanafi di dalam Yanabiyyul Mawaddahnya menyebutkan berbagai riwayat yang menyatakan bahawa Ali ialah diri Rasulullah s.a.w.a. berdasarkan dari nas ayat yang mulia itu [9]. Asy-Syablanji di dalam Nurrul Absarnya menyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan perempuan-perempuan kami ialah Fatimah dan anak-anak kami ialah Hassan dan Hussain dan diri-diri kami ialah diri kami ialah diri Rasulullah s.a.w.a. dan Ali r.a. [10].

Riwayat yang memberi maksud yang sama dikeluarkan oleh sebahagian para muhaddisin dan mufassirin di antaranya: At-Thabari di dalam Zakhairul ‘Uqba [11], Al-Kanji As-Syafie di dalam Kifayat Ut-Talibnya [12], Al-Hakim di dalam Mustadraknya [13], Abu Naim di dalam An-Nubuwah [14], Fakharuddin Ar-Razi di dalam tafsirnya15, Ibnu Asir di dalam kitab Usdul Khabah16, Basth Ibnu Jauzi di dalam Tazkirah,17 Al-Qurtubi di dalam Al-Jamiul Lil Ahkamil Quran18, Al-Baidhawi di dalam Tafsirnya19, Ibnu Hajar Al-Asqalani di dalam Isabah20 dan lain-lain lagi.



Wallahu'alam.

Sunday, July 6, 2008

ADIL & ZALIM

Fenomena Dalam Masyarakat

Manusia mempunyai dua sifat semulajadi iaitu zalim dan adil. Kedua-dua sifat ini menyebabkan mereka sesat dan tidak melaksanakan amanah Allah Taala. Akibatnya mereka hidup dalam keadaan kufur dan tidak aman. Untuk menyelamatkan mereka daripada keadaan tersebut Allah yang Maha Adil dan Maha Mengetahui memberi hidayah dengan menurunkan Al-Quran dan mengutuskan Rasul supaya mereka dapat berlaku adil dan mempunyai ilmu untuk menghapuskan kezaliman dan menegakkan keadilan.
Ayat Al-Quran berikut merakamkan kenyataan di atas:


(Surah Al-Ahzab ayat 72) Ertinya: Sesungguhnya kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesunguhnya tabiat kebaikan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.

(Surah Al-Baqarah ayat 213) Ertinya: Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisih), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab Neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu kitab-kitab suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan. Dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka kitab-kitab suci yang tersebut itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, ( Mereka berselisih ) semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman kearah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinnya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayahnya kepada sesiapa yang dikehendakinya ke jalan yang betul dan lurus (mengikut undang-undang peraturannya).


PENGERTIAN ADIL

Terdapat beberapa pengertian yang di buat oleh Ulamak tentang adil:

1. Adil bererti meletakkan sesuatu pada tempatnya.
2. Adil bererti menerima hak tanpa lebih dan memberikan hak orang lain tanpa kurang. 3. Adil bererti memberi hak setiap orang yang berhak tanpa lebih dan tanpa kurang sesama orang yang berhak dan menghukum orang yang jahat atau melanggar hukum setara dengan kesalahannya.

Daripada ketiga-tiga pengertian yang tersebut dapatlah dirumuskan bahawa keadilan itu:

1. Menjamin hak individu (diri sendiri dan orang lain).
2. Menghapuskan kezaliman.
3. Melaksanakan hukum dengan saksama.
4. Memastikan orang berkuasa tidak menyalahgunakan kuasa dan orang yang lemah tidak teraniaya.


ADIL KEPADA DIRI SENDIRI

Menurut Islam keadilan dan kezaliman boleh berlaku pada diri sendiri dan pada orang lain. Asas keadilan pada diri sendiri ialah iman, amal Soleh dan akhlak mulia dan asas kezaliman pada diri sendiri ialah kufur, maksiat dan akhlak yang hina. Selain itu setiap orang hendaklah menjaga hak, keperluan dan kehormatan diri sendiri iaitu hak keperluan dan kehormatan rohani dan jasmani. Sebab itu orang Islam di larang daripada membiarkan diri teraniaya. Firman Allah Taala: (Surah Al Baqarah Ayat 195) Ertinya: Dan belanjakan ( apa yang ada pada kamu ) kerana ( menegakkan ) Agama Allah. Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri ke dalam bahaya kebinasaan (dengan sikap bakhil) dan perbaikilah ( dengan sebaik-baiknya segala usaha dan ) perbuatan kamu, kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha supaya baik amalannya. Lebih utama lagi, bagi menegakkan keadilan pada diri sendiri seseorang itu hendaklah berani mengakui kesalahan dirinya sendiri dan bersedia menerima akibat daripada kesalahan tersebut. Keadilan pada diri sendiri itu dapat dipelihara apabila seseorang itu mempunyai ilmu tentang yang benar (hak) dan yang salah (batil), tentang yang baik dan yang buruk, tentang yang berguna dan sia-sia. Orang yang beriman dan menyedari akan hakikat diri dan amalannya akan sentiasa berdoa kepada Allah Taala seperi doa Nabi Adam Alahissalam.


(Surah Al Araf Ayat 23 ) Ertinya: Mereka berdua merayu : øWahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami orang-orang yang rugi.

Sabda Rasullallah Sallallahu Alaihi Wasallam; Ertinya: Berlaku adillah walaupun ke atas diri kamu. Orang yang tidak beriman dan orang yang melakukan maksiat sebenarnya orang yang zalim kepada diri sendiri kerana mereka tidak akan terlepas daripada hukuman Allah Taala di dunia dan di akhirat disebabkan mereka tidak mahu menyahut seruan Islam dan tidak patuh kepada hukum yang ditentukan oleh Allah Taala.


ADIL KEPADA ORANG LAIN

Keadilan kepada orang lain berasaskan penyempurnaan hak mereka dan melaksanakan hukum secara saksama antara mereka, membela orang yang teraniaya dan menghukum orang yang bersalah. Ini berdasarkan ayat Al-Quran:
(Surah An Nahl Ayat 90) Ertinya:Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberikan bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu ( dengan suruhan dan larangannya ini ), supaya kamu mengambil peringatan mematuhinya.(Surah Al Maidah Ayat 42) Ertinya: Dan jika engkau nenghukum, maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

Asas bagi melaksanakan keadilan kepada orang lain ialah:
1. Iman dan takwa kepada Allah.
2. Amanah, bertanggungjawab dan Ihsan.
3. Ilmu dan kebenaran bersumberkan Al-Quran, hadis, Ijmak dan qias.
4. berpandukan kaedah atau prosedur melaksanakan hukum atau undang-undang.

Tanpa berpegang pada asas (prinsip) yang tersebut manusia boleh dipengaruhi oleh kepentingan peribadi atau kebendaan sehigga mereka sanggup melakukan kezaliman dlam pelaksanaan keadilan iaitu:
1. Orang yang lemah tidak mendapat haknya dan orang yang kuat merampas hak orang yang lemah.
2. Orang yang bersalah bebas daripada hukuman dan orang yang tidak bersalah teraniaya.
3. hukum tidak berlandaskan kebenaran dan keadilan, tetapi berlandaskan kekuasaan dan kepentingan tertentu.


SIFAT ORANG YANG ADIL

Antara sifat-sifat orang (hakim) yang dapat berlaku adil.
1. Mempunyai iman yang kukuh dan bertakwa kepada Allah Taala.
2. Menguasai ilmu syariat dan ilmu Aqliah.
3. Melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab.
4. Ikhlas dan bertawakal kepada Allah Taala.
5. Berperibadi mulia iaitu:
i- tidak mementingkan diri sendiri.
ii- berperikemanusiaan dan belas Ihsan.
iii- Bijak dan tegasiv- Berani menghadapi risiko.

Sabda Rasullalahi Sallallahu Alaihi Wassalam Yang bermaksud : (hakim) itu tiga jenis ; dua daripadanya masuk ke Neraka dan satu daripadanya masuk ke Syurga. Lelaki (hakim) yang tahu perkara yang benar, lalu ia menghukum berlandaskan kebenaran tersebut, maka ia masuk ke Syurga. Dan lelaki (hakim) yang tidak tahu perkara yang benar, lalu ia menjalankan hukuman atas kejahilannya,maka ia masuk ke Neraka.

Wallahu'alam.

Undang-Undang Islam_1

Pengertian Jinayat

Jinayah menurut fuqaha' ialah perbuatan atau perilaku yang jahat yang dilakukan oleh seseorang untuk mencerobohi atau mencabul kehormatan jiwa atau tubuh badan seseorang yang lain dengan sengaja. Penta`rifan tersebut adalah khusus pada kesalahan-kesalahan bersabit dengan perlakuan seseorang membunuh atau menghilangkan anggota tubuh badan seseorang yang lain atau mencederakan atau melukakannya yang wajib di kenakan hukuman qisas atau diyat. Kesalahan-kesalahan yang melibatkan harta benda, akal fikiran dan sebagainya adalah termasuk dalam jinayah yang umum yang tertakluk di bawahnya semua kesalahan yang wajib dikenakan hukuman hudud, qisas, diyat atau ta`zir.

Faedah dan manafaat daripada Pengajaran Jinayat :-

1) Menjaga keselamatan nyawa daripada berlaku berbunuhan sesama sendiri dan sebagainya
2) Menjaga keamanan maruah di dalam masyarakat daripada segala fitrah tuduh-menuduh.
3) Menjaga keamanan maruah di dalam harta benda dan nyawa daripada kecurian, ragut dan lain-lain.
4) Berhubung dengan keamanan negara dan menyelenggarakan keselamatan diri.
5) Perkara yang berhubung di antara orang-orang Islam dengan orang-orang kafir di dalam negara Islam Pembunuhan.


Bentuk Hukuman Yang Dikenakan Ke Atas Penjenayah

Mengikut peruntukan hukum syara` yang disebutkan di dalam Al-Qur'an dan Al-Hadith dan yang dikuatkuasakan dalam undang-undang jinayah syar`iyyah, penjenayah-penjenayah yang didakwa di bawah kes jinayah syar`iyyah apabila sabit kesalahannya di dalam mahkamah wajib dikenakan hukuman hudud, qisas, diyat atau ta`zir.

Hukuman-hukuman ini adalah tertakluk kepada kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh penjenayah-penjenayah tersebut.

1. Hukuman Hudud

Hukuman hudud adalah hukuman yang telah ditentukan dan ditetapkan Allah di dalam Al-Qur'an dan Al-Hadith. Hukuman hudud ini adalah hak Allah yang bukan sahaja tidak boleh ditukar ganti hukumannya atau diubahsuai atau dipinda malah tidak boleh dimaafkan oleh sesiapapun di dunia ini. Mereka yang melanggar ketetapan hukum Allah yang telah ditentukan oleh Allah dan RasulNya adalah termasuk dalam golongan orang yang zalim. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"Dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka mereka itulah orang-orang yang zalim." (Surah Al-Baqarah, 2:229).

Kesalahan-kesalahan yang wajib dikenakan hukuman hudud ialah:

a) Berzina, iaitu melakukan persetubuhan tanpa nikah yang sah mengikut hukum syara`.

b) Menuduh orang berzina (qazaf), iaitu membuat tuduhan zina ke atas orang yang baik lagi suci atau menafikan keturunannya dan tuduhannya tidak dapat dibuktikan dengan empat orang saksi.

c) Minum arak atau minuman yang memabukkan sama ada sedikit atau banyak, mabuk ataupun tidak.

d) Mencuri, iaitu memindahkan secara sembunyi harta alih dari jagaan atau milik tuannya tanpa persetujuan tuannya dengan niat untuk menghilangkan harta itu dari jagaan atau milik tuannya.

e) Murtad, iaitu orang yang keluar dari agama Islam, sama ada dengan perbuatan atau dengan perkataan, atau dengan i`tiqad kepercayaan.

f) Merompak (hirabah), iiatu keluar seorang atau sekumpulan yang bertujuan untuk mengambil harta atau membunuh atau menakutkan dengan cara kekerasan.

g) Penderhaka (bughat), iaitu segolongan umat Islam yang melawan atau menderhaka kepada pemerintah yang menjalankan syari`at Islam dan hukum-hukum Islam.

2. Hukuman Qisas

Hukuman qisas adalah sama seperti hukuman hudud juga, iaitu hukuman yang telah ditentukan oleh Allah di dalam Al-Qur'an dan Al-Hadith. Hukuman qisas ialah kesalahan yang dikenakan hukuman balas.

Membunuh dibalas dengan bunuh (nyawa dibalas dengan nyawa), melukakan dibalas dengan melukakan, mencederakan dibalas dengan mencederakan.

Kesalahan-kesalahan yang wajib dikenakan hukuman qisas ialah:

a) Membunuh orang lain dengan sengaja.

b) Menghilangkan atau mencederakan salah satu anggota badan orang lain dengan sengaja.

c) Melukakan orang lain dengan sengaja. Hukuman membunuh orang lain dengan sengaja wajib dikenakan hukuman qisas ke atas si pembunuh dengan dibalas bunuh. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kamu menjalankan hukuman qisas (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh." (Surah Al-Baqarah, 2:178)

Hukuman menghilangkan atau mencederakan salah satu anggota badan orang lain atau melukakannya wajib dibalas dengan hukuman qisas mengikut kadar kecederaan atau luka seseorang itu juga mengikut jenis anggota yang dicederakan dan dilukakan tadi.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"Dan Kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawasanya jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka juga hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya. Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim." (Surah Al-Ma'idah: 45)

3. Hukuman Diyat

Hukuman diyat ialah harta yang wajib dibayar dan diberikan oleh penjenayah kepada wali atau waris mangsanya sebagai gantirugi disebabkan jenayah yang dilakukan oleh penjenayah ke atas mangsanya. Hukuman diyat adalah hukuman kesalahan-kesalahan yang sehubungan dengan kesalahan qisas dan ia sebagai gantirugi di atas kesalahan-kesalahan yang melibatkan kecederaan anggota badan atau melukakannya.

Kesalahan-kesalahan yang wajib dikenakan hukuman diyat ialah:

a) Pembunuhan yang serupa sengaja.

b) Pembunuhan yang tersalah (tidak sengaja).

c) Pembunuhan yang sengaja yang dimaafkan oleh wali atau waris orang yang dibunuh. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh) maka hendaklah (orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan si pembunuh pula hendaklah menunaikan (bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta satu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab siksa yang tidak terperi sakitnya." (Surah Al-Baqarah, 2:178)

4. Hukuman Ta`zir

Hukuman ta`zir ialah kesalahan-kesalahan yang hukumannya merupakan dera, iaitu penjenayah-penjenayah tidak dijatuhkan hukuman hudud atau qisas. Hukuman ta`zir adalah hukuman yang tidak ditentukan kadar atau bentuk hukuman itu di dalam Al-Qur'an dan Al-Hadith.

Hukuman ta`zir adalah dera ke atas penjenayah-penjenayah yang telah sabit kesalahannya dalam mahkamah dan hukumannya tidak dikenakan hukuman hudud atau qisas kerana kesalahan yang dilakukan itu tidak termasuk di bawah kes yang membolehkannya dijatuhkan hukuman hudud atau qisas.

Jenis, kadar dan bentuk hukuman ta`zir itu adalah terserah kepada kearifan hakim untuk menentukan dan memilih hukuman yang patut dikenakan ke atas penjenayah-penjenayah itu kerana hukuman ta`zir itu adalah bertujuan untuk menghalang penjenayah-penjenayah mengulangi kembali kejahatan yang mereka lakukan tadi dan bukan untuk menyiksa mereka.


Tujuan Hukuman Hudud, Qisas, Diyat dan Ta'zir

Hukuman hudud, qisas, diyat dan ta`zir diperuntukkan dalam qanun jinayah syar`iyyah adalah bertujuan untuk menjaga prinsip perundangan Islam yang tertakluk di bawahnya lima perkara:

1. Menjaga agama, iaitu menjaga aqidah orang-orang Islam supaya tidak terpesong dari aqidah yang sebenar dan tidak menjadi murtad. Orang yang murtad akan disuruh bertaubat terlebih dahulu dan sekiranya dia enggan bertaubat maka hukuman bunuh akan dikenakan ke atas mereka. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Sesiapa yang menukar agamanya (murtad), maka bunuhlah dia." (Riwayat Bukhari)

2. Menjaga nyawa, iaitu menjaga jiwa seseorang dari dibunuh termasuklah menjaga anggota tubuh badan seseorang dari dicederakan atu dirosakkan. Sesiapa yang membunuh manusia atau mencederakan anggota tubuh badan mereka itu dengan sengaja wajib dijatuhkan hukuman qisas atau diyat sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"Dan di dalam hukum qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran supaya kamu bertaqwa." (Surah Al-Baqarah, 2:179)

3. Menjaga akal fikiran, iaitu memelihara akal fikiran manusia dari kerosakan disebabkan minum arak atau minuman-minuman yang memabukkan. Mereka yang meminum arak wajib dijatuhkan hukuman sebat tidak lebih dari lapan puluh kali sebat sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Saiyidina Ali di dalam sebuah hadith yang bermaksud:

"Rasulullah s.a.w. telah menyebat orang yang minum arak sebanyak empat puluh kali sebat, dan Saiyidina Abu Bakar telah menyebat empat puluh kali sebat juga, dan Saiyidina Umar menyebat sebanyak lapan puluh kali .

4. Menjaga keturunan, iaitu memelihara manusia dari melakukan perzinaan supaya nasab keturunan, perwalian dan pewarisan anak-anak yang lahir hasil dari persetubuhan haram itu tidak rosak. Orang yang melakukan perzinaan wajib dijatuhkan hukum sebat dan rejam sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. dalam hadithnya yang diriwayatkan daripada `Ubadah bin As-Somit r.a. yang bermaksud:

"Ambillah peraturan daripada aku, ambillah peraturan daripada aku. Sesungguhnya Allah telah memberi jalan untuk mereka. Perawan dengan jejaka yang berzina hukumannya disebat sebanyak seratus kali sebat, dan dibuang negeri selama setahun. Dan janda dengan janda yang berzina hukumannya disebat sebanyak seratus kali sebat dan direjam." (Riwayat Muslim dan Abu Daud)

5. Menjaga harta benda, iaitu memelihara harta benda manusia dari dicuri dan dirompak dengan menjatuhkan hukuman potong tangan ke atas pencuri, dan menjatuhkan hukuman mati atau potong tangan dan kaki kedua-duanya sekali atau dibuang negeri ke atas perompak. Hukuman ini tertakluk kepada cara rompakan itu dilakukan sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"Dan orang lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri maka (hukumannya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah maha Kuasa lagi Maha Bijaksana." (Surah Al-Ma'idah: 38)

Firman Allah s.w.t. lagi yang bermaksud:

"Sesungguhnya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi (melakukan keganasan merampas dan membunuh orang di jalan ) ialah dengan balasan bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan berselang (kalau mereka merampas sahaja, atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman awam). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab siksa yang amat besar." (Surah Al-Ma'idah: 33)


Liwat

Liwat ialah melakukan persetubuhan di dubur, sama ada dubur lelaki atau dubur perempuan walaupun dubur isterinya sendiri.

Melakukan persetubuhan didubur hukumnya adalah haram dan sama seperti bersetubuh difaraj perempuan yang bukan isterinya, dan juga sama hukumannya dengan berzina. Mereka yang melakukan liwat, wajib dikenakan hukuman hudud, iaitu direjam sehingga mati, jika orang yang berliwat itu muhsin. Dan dikenakan hukuman sebat 100 kali sebat dan buang negeri selama setahun, jika berliwat dengan bukan muhsin.

(Kifayatul Ahyar juzuk 2 muka surat 111-112)

MUSAHAQAH (LESBIAN)

Melakukan sesuatu perbuatan untuk memuaskan nafsu seks diantara perempuan dengan perempuan dengan mengeselkan faraj dengan faraj mereka berdua hingga mendatangkan berahi dan merasa kelazatan dengan sebab pergeselan faraj diantara kedua-dua orang perempuan itu.

Musahaqah adalah suatu perbuatan yang haram dan wajib dikenakan hukuman takzir, dimana kesalahan musahaqah itu boleh disabitkan dengan bukti-bukti yang dikehendaki untuk mensabitkan kesalahan-kesalahan yang wajib dikenakan hukuman takzir. Dan kesalahan liwat hendaklah disabitkan kesalahan itu dengan bukti –bukti sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak untuk membuktikan zina.

MENDATANGI BINATANG

Seseorang yang mendatangi binatang tidak boleh diistilahkan sebagai orang yang berzina. Perbuatan mereka itu boleh diistilahkan suatu perbuatan yang haram dan keji yang wajib dijatuhkan hukuman takzir.

BERSETUBUH DENGAN ORANG YANG TELAH MATI

Lelaki yang mensetubuhi perempuan yang telah mati yang bukan isterinya tidak boleh diistilahkan melakukan perzinaan, tetapi lelaki itu wajib dikenakan hukuman takzir. Begitu juga perempuan yang memasukkan zakar lelaki yang telah mati yang bukan suaminya ke dalam farajnya tidak boleh juga dikira sebagai berzina, tetapi perempuan itu wajib juga dikenakan hukuman takzir.

Oleh itu bagi perkara tersebut diatas lelaki dan perempuan itu tadi wajib dikenakan hukuman takzir sahaja dan tidak boleh dikenakan hukuman hudud.

BUKTI-BUKTI UNTUK MENSABITKAN KESALAHAN ZINA

Untuk mensabitkan seseorang itu bersalah dalam kes zina yang wajib dikenakan hukuman hudud mestilah dibuktikan dengan salah satu perkara-perkara berikut:-

i) Perzinaan itu mestilah disaksikan oleh empat orang saksi lelaki. Sebagaimana Firman Allah Taala yang bermaksud:

”Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) diantara perempuan-perempuan kamu maka carilah empat orang lelaki diantara kamu menjadi saksi terhadap perbuatan-perbuatan mereka”.
( Surah An-Nisaa' - Ayat 15)

ii) Ikrar (pengakuan) daripada orang yang melakukan zina. Ikrar ini hendaklah dibuat dihadapan imam atau wakilnya seperti hakim atau kadhi.

iii) Qarinah, iaitu perkara-perkara yang menunjukkan berlaku perzinaan, misalnya hamil bagi perempuan-perempuan yang tidak bersuami, atau tidak diketahui perempuan itu ada suami.


KELAYAKAN SAKSI –SAKSI DALAM KES ZINA

Saksi-saksi yang layak untuk menjadi saksi dalam kes kesalahan berzina yang boleh diterima penyaksiannya ialah mereka yang memenuhi syarat-syarat berikut:-

1. 4 orang lelaki
2. Baligh, telah dewasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh syarak.
3. Berakal
4. Orang yang adil, iaitu tidak melakukan dosa besar dan dosa –dosa kecil.
5. Orang Islam
6. Saksi-saksi itu kesemuanya mestilah benar-benar melihat dengan matanya sendiri masuk kemaluan lelaki itu kedalam kemaluan perempuan itu seperti keris masuk kedalam sarungnya.
7. Keterangan saksi-saksi itu mestilah jelas, iaitu menerangkan secara hakiki masuk zakar lelaki itu ke dalam lubang faraj perempuan itu sebagaimana yang berlaku – bukan secara kiasan.
8. Saksi-saksi itu mestilah melihat sendiri perzinaan itu dilakukan dalam satu tempat yang tertentu dan dalam satu masa yang sama (tidak berlainan tempat dan masa).


( Rujukan Kitab - Kitab Mathla’al Badraian –
Syeikh Muhammad Daud Al-Fathani )

Assalamu'alaikum w.b.t.,

Sejak kebelakangan ini negara kita yang tercinta digemparkan dengan pelbagai isu yang amat menggoncang keamanan dan ketenteraman kita rakyat Malaysia ini. Begitulah juga terdengar suara-suara yang amat 'concern' dengan penggunaan Undang-Undang Islam di Malaysia. Mereka yang dahulunya cukup mempertahankan Undang-undang British, tetapi dengan dengan begitu mudah pula kali ini 'beralih arah' kepada sesuatu yang mereka benci sebelum ini. Sikap sebegini ada dijelaskan dalam Al-Quran Al-Kareem yang menyatakan perangai orang-orang yahudi dan nasara yang seringkali mengambil mana-mana bahagian yang mereka suka di dalam Kitab Allah s.w.t. dan meninggalkan sebahagian yang lain kerana mereka benci terhadapnya.



Sedarlah wahai sahabat-sahabatku, tiada yang lebih sempurna melainkan apa yang telah diturunkan oleh Allah s.w.t. melalui Nabi Muhammad s.a.w. Ikutilah dan jalankanlah kehidupan kita dengan panduan tersebut sepenuhnya dan bukannya mengambil yang mana yang kita suka sahaja. Semoga kita semua dirahmati Allah s.w.t. selalu di dunia dan di akhirat, AMIN!



Janganlah kita bersikap hipokrit seolah-olah kita hendak mempertahankan Islam, namun pada hakikatnya kitalah yang bersekongkol dengan mereka yang suka melihat keruntuhan Islam. Marilah sama-sama kita kembali mendokong kepimpinan ulama demi kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Runtuhkanlah jahiliyyah yang bermaharajalela ini, dan bangunkanlah Islam di atas keruntuhan tersebut. Sebarang usaha untuk mencampur-baurkan Islam dan jahiliyyah adalah sia-sia.

Wassalam.