Friday, July 11, 2008

PERISTIWA MUBAHALAH

Peristiwa Mubahalah: Islam dan Globalisasi Kepimpinan

Kita sudah pasti tidak boleh menyangkal bahawa tabi’i alam berjalan sejajar dengan ketentuan-ketentuan, peraturan-peraturan dan norma-norma yang diperlukan oleh manusia. Ini beerti bahawa seluruh kehidupan manusia terikat kepada satu sistem yang bertujuan untuk memelihara kebaikan dan kebahagiaan di dalam kehidupan mereka. Oleh sebab itu pencipta semesta ini tidak sekadar mewujudkan ketentuan-ketentuan, norma-norma dan peraturan-peraturan tersebut bagi menghasilkan kehidupan yang baik untuk mereka, tetapi serentak dengan itu limpahan dari kerahmatan maha pencipta alam ini juga telah didatangkan melalui satu ‘sistem ketuhanan’ yang bermatlamat untuk memartabatkan manusia dengan nilai-nilai kemanusiaannya.

Perutusan para anbiya a.s. adalah peneraju-peneraju semasa yang membimbing manusia ke arah perlaksanaan sistem tersebut secara praktikal, dan Allah s.w.t. tidak akan meninggalkan manusia tanpa penaru semasa yang membolehkan manusia bergerak bebas di bawah sistem ketuhanan itu. Allah s.w.t. befirman:

Yang bermaksud: “Dan tidak ada suatu ummat pun melainkan telah berlalu padanya seorang pengancam”. (Fatir: 24)

Setelah berakhir satu siri perutusan para anbiya a.s. ini sistem ketuhanan tersebut tetap berterusan bagi mengekalkan kemurnian hidup manusia. Oleh yang demikian Allah sw.t. telah menyatakan dengan jelas mengenai saringan generasi kepimpinan yang telah disaring dari generasi para anbiya a.s. ini sebagaimana ditegaskan oleh Al-Quran yang mulia.

Yang bermaksud: “Dan Allah telah menjadikannya (kalimah tauhid) sebagai kalimah yang berkekalan pada generasinya (Ibrahim a.s.) semoga mereka kembali”. (Az-Zukhruf: 28)

Oleh kerana tujuan kedatangan Islam adalah untuk kesejahteraan seluruh manusia, maka status dan skop kepimpinan yang telah ditaja oleh Islam adalah selaras dengan tujuan kedatangannya. Ini dapat dilihat di dalam semua aspek kehidupan manusia, kerana itu sejarah memaparkan Nabi Ibrahim a.s. menerima perlantikan Allah s.w.t:

Di dalam ayat tersebut: “Sesungguhnya aku menjadikan engkau pemimpin (imam) kepada seluruh manusia” (Al-Baqarah: 124)

Di dalam ayat tersebut Allah s.w.t. tidak hanya sekadar menyatakan bahawa kuasa mutlak di tangannya untuk melantik pemimpin dengan menyebutkan perkataan ‘Ism-ul-Fa’il’ (kata nama pembuat) iaitu ‘Ja’ilu-ka’, tetapi Allah s.w.t. juga menyebutkan skop kepimpinan dan seterusnya iaitu dengan perkataan ‘Lin-Nas’ dan ‘Imama’. Kepimpinan di dalam bentuk ini berterusan hingga ke zaman pesuruh Allah s.w.t. terakhir, di mana skop dan status kepimpinannya mengatasi para anbiya a.s. terdahulu.

Kerana itu peristiwa ‘Mubahalah’ yang diperlakukan oleh Allah s.w.t. di saat-saat terakhir hayat Rasulullah s.a.w.a. adalah satu peristiwa yang tidak hanya sekadar dipandang dari aspek cabaran Islam mengatasi seluruh agama yang lain, tetapi semestinya dipandang dari aspek penerusan garis kepimpinan yang ditinggalkan oleh baginda dengan penampilan individu-individu tertentu di dalam peristiwa tersebut. Ini beerti sebelum Islam menutup siri perutusan para anbiya Islam telah memperkenalkan garis kepimpinan yang berwibawa untuk merealisasikan tugas kepimpinan yang global ini.

Al-Quran memaparkan peristiwa tersebut bagi memperjelaskan kedudukan Ahlul Bait Rasulullah s.a.w.a. sesudah sekian banyak ayat-ayat yang diturunkan berhubung dengan kedudukan Ahlul Bait baginda, tetapi peristiwa dan ayat yang berhubung dengan peristiwa ini menampilkan suatu pengertian yang luas dan bertujuan menyingkap semula konsep kepimpinan di samping merupakan satu peringatan menjelang peristiwa ‘Al-Ghadir’. Ini beerti bahawa pengingkaran terhadap ‘Ayat-u-Tabligh’ dan hadis ‘Al-Ghadir’ menyanggahi realiti peristiwa Mubahalah ini, di mana pendedahan skop dan status kepimpinannya adalah lebih besar. Allah s.w.t. befirman:

Maksudnya:
“Maka barang siapa yang membantahmu mengenainya (agama) sesudah datang pengetahuan kepadamu, katakanlah kepada mereka: Marilah kita mengajak anak-anak kami dan anak-anak kamu, perempuan-perempuan kami dan perempuan-peempuan kamu, diri-diri kami dan diri-diri kamu, kemudian kita bermubahalah (dengan berrdoa dan memohon) menjadikan la’nat Allah ke atas ke atas orang-orang yang berdusta”
(Al-Imran: 61)

Najran dan peristiwa Mubahalah

Di semenanjung tanah Arab, Najran adalah wilayah yang paling penting bagi orang-orang Nasrani, terletak bersempadan dengan dengan Yaman dan Hijaz, sebuah daerah pertanian yang subur, terkenal dengan perusahaan menenun sutera, pembikinan senjata dan barangan kulit. Bumi ini adalah laluan pendagang yang terdekat mengarah ke hirah, melahirkan banyak penyair yang terkemuka. Penduduk Najran sewaktu ketika dahulu sebelum beragama Nasara mereka adalah penganut-penganut agama orang-orang Arab. Di bumi inilah berlaku peristiwa pembakaran beramai-ramai ‘Ashab Ul-Ukhdud’ yang diceritakan Al-Quran.

Kaum Nasrani berjaya mengekalkan kekuasaan meraka di Najran selepas menumpaskan Zu Nuwwas dari kaum Yahudi yang telah menyerang bumi tersebutdan kejayaan ini membawa penguasaan mereka di selatan Habsyah dan di utara Rom. Inilah detik-detik kaum Nasrani Najran berada di puncak keangkuhan mereka sebagaimana keangkuhan kaum Yahudi sebelumnya. Mereka telah membina sebuah Ka’abah di Najran di sebabkan kedengkian mereka terhadap Ka’abah di Makkah. Yaqut telah menyebutkannya di dalam ‘Mu’jam Ul-Buldan’ (Jilid 8 : muka surat 264):

Dan Ka’abah Najran ini dikatakan telah dibina oleh Banu Abdul Madan bin Ad-Diyan Al-Harisi mengikut bentuk binaan Ka’abah, mereka memulia dan mengagung Ka’abah tersebut serta menamakannya ‘Ka’abah Najran’ di dalamnya para asaqifah beribadat.

Penguruasan ‘Ka’abah Najran’ dibahagikan kepada tiga jabatan yang dipertanggungjawabkan kepada tiga orang. Jabatan yang mengurus urusan luar mengurus luar mengenai hubungan di antara qabilah dengan mereka sebagaimana yang kita namakan pada hari ini kementerian luar disandang oleh ‘As-Sayyid’ yang namanya ialah ‘wahab’, di mana ia merangkap sebagai pemimpin di dalam peperangan yang kita namakan menteri peperangan atau menteri pertahanan. Jabatan yang mengurus urusan dalaman yang kita namakan pada hari ini kita namakan kementerian dalam negeri yang di sandang oleh ‘Al-‘Aqib’ yang namanya adalah ‘Abul Maseh’, jabatan yang mengurus urusan keagamaan yang kita namakan pada hari ini menteri agama yang disandang oleh ‘Al-Usquf’ yang namanya adalah ‘Abu Marisah’.

Kaum Nasrani Najran telah mengutus ketiga-tiga mereka bertemu Rasulullah s.a.w.a. dan baginda telah berhasrat untuk bermubahalah dengan mereka, tetapi mereka telah memohon perdamaian dengan baginda, walaubagaimanapun Rasulullah telah menulis sepucuk surat kepada mereka dengan mengenakan beberapa syarat. Selepas Abu bakar menyandang jawatan khalifah dihapuskan yang demikian itu, ketika umar mengambil alih jawatan tersebut, beliau telah memuliakan mereka dan membeli harta mereka.

Pembahasan mengenai penurunan ayat ini

Di dalam sahih muslim, dari riwayat Amir bin Saad bin Abi Waqqas daripada bapanya ia berkata: “Muawwiyah bin Abi Sufyan menyuruh Saad dengan berkata: Apakah yang menghalangmu dari mencaci Abu Turab (Imam Ali a.s.)?. Ia ( Saad ) menjawab: Ada pun telah diperingatkan kepadaku tiga kali di mana Rasulullah s.a.w.a. telah berkata ketiga-tiganya maka aku tidak akan mencacinya, kerana sesungguhnya ia adalah bagiku satu-satu yang paling aku kasihi dari seluruhnya. Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w.a. bersabda mengenainya di waktu baginda meninggalkan Ali r.a. di dalam beberapa peperangan, maka Ali r.a. telah berkata kepada baginda: “Wahai Rasulullah!, engkau tinggalkan aku (tidak ikut serta di dalam peperangan) bersama perempuan-perempuan dan kanak-kanak.” Rasulullah s.a.w.a. menjawab: “Tidakkah engkau redha bahawa engkau menjadi di sisiku kedudukannya sama dengan kedudukan Harun di sisi Musa kecuali sesungguhnya tidak ada lagi seorang Nabi sesudahku. Aku juga telah mendengar baginda bersabda di hari (perang) Khaibar: “Aku akan berikan besok panji-panji kepada seorang lelaki yang cintakan Allah dan Rasul menyintainya.” Ia berkata: Kami telah membentang kepadanya (panji-panji). Maka baginda bersabda: “Panggillah Ali untukku.” Kemudian Ali telah datang dengan mata yang sedang sakit, maka baginda telah meludah ke dalam kedua belah matanya dan menyerahkan panji-panji kepadanya dan Allah s.w.t. telah memberikan kemenangan di dalam tangannya. Sewaktu turun ayat ini: “Katakanlah kepada mereka, marilah kita mengajak anak-anak kami dan anak-anak kamu, perempuan-perempuan kami dan perempuan-perempuan kamu, diri-diri kami dan diri-diri kamu kemudian kita bermubahalah. Rasulullah s.a.w.a. telah memanggil Ali, Fatimah, Hassan dan Hussain dan berdoa: Ya Allah tuhan kami, mereka itulah Ahlul Baitku” [1].

Ibnu Hajar Al-Asqalani di dalam “Fathul Bari” ( Syarah Al-Bukhari ) telah berkata selepas menyebut hadis ini yang diriwayatkan oleh muslim dan At-Tarmizi mengikut lafaz tersebut dan di sisi Abi Ya’la daripada Saad dengan bentuk yang lain. Beliau telah berkata: “Jika sekiranya diletakkan gergaji di atas kepalaku untuk aku mencaci Ali, aku tidak mencacinya sama sekali selama-lamanya. Beliau juga berkata hadis ini ialah hadis ‘Al-Manzilah’ (iaitu hadis tentang kedudukan Imam Ali a.s.) yang diriwayatkan juga daripada Rasulullah s.a.w.a. melalui jalan yang lain daripada Saad dari hadis Umar, Ali sendiri, Abu Hurairah, Ibnu Abbas, Jabir bin Abdullah, Al-Barrak, Zaid bin Arqam, Abi Said, Jabir bin Samrah, Anas bin Malik, Habsyi bin Janadah, Muawiyah, Asma’ binti Umais dan lain-lain. Dan beliau berkata bahawa hadis tersebut mencangkupi jalan-jalan daripada Ibnu Asakir di dalam ‘Tarjumah Ali r.a.. [2]

Imam Annawawi menyatakan di dalam syarah muslim sehubungan dengan memberikan komentar terhadap teks riwayat yang berbunyi: “Sesungguhnya Muawiyah telah berkata kepada Saad bin Abi Waqqas: Apakah yang menghalangmu dari mencaci Aba Turab?”. Beliau berkata: “Para ulama telah berkata bahawa hadis-hadis yang telah diriwayatkan itu adalah pada lahirnya menyentuh para sahabat ( Rasululah s.a.w.a. ) wajib ditakwilkannya. Mereka berkata ianya tidak ada di dalam riwayat-riwayat yang siqaat (kepercayaan). Maka pertanyaan Muawiyah ini tidak menunjukkan pengertian yang jelas padanya bahawa sesungguhnya ia menyuruh Saad mencaci Ali r.a.. Tetapi hanyasanya ia ( Muawiyah ) telah bertanya kepadanya (Saad ) tentang halangan baginya untuk mencaci, seolah-olah ia berkata, adakah engkau telah terhalang disebabkan oleh kerendahan diri atau takut atau selain daripada yang demikian itu. Jika sekiranya kerana kerendahan diri dan kebesaran tentang membuat cacian, maka engkau betul dan baik. Tetapi sekiranya selain daripada yang demikian itu, maka baginya jawapan yang lain pula. Dan boleh jadi Saad sesungguhnya telah berada dalam satu golongan (yang) mereka itu mencaci Ali r.a., maka ia tidak bersama-sama dengan mereka dan tidak mampu untuk mengingkarinya ataupun mengingkari terhadapnya. Dengan itu ia telah bertanya tentang soalan ini. Mereka juga (para ulama) telah membuat andaian dengan dua takwil yang lain iaitu maknanya apakah yang menghalangmu untuk menyalahkannya di dalam perkara pandangan dan ijtihadnya. Maka zahirkah kebaikan terhadap manusia, akan tetapi pandangan kami dan ijtihad kami ini adalah sesungguhnya salah”.
Hadis tersebut diriwayatkan juga oleh Tarmizi di dalam sahihnya [3], Ahmad Ibnu Hanbal di dalam Musnadnya [4], dan An-Nasai di dalam Khasaisnya [5].

At-Thabari telah mengeluarkan banyak hadis mengenai ayat di atas melalui berbagai jalan daripada Zaid bin Ali, daripada Sadi dan Qatadah, daripada Sanaa bin Zaid dan daripada Al-Yasykiri [6] As-Syayuthi di dalam Ad-Dur Ul-Mansurnya menukilkannya daripada Jabir dan menyebutkan di akhirnya bahawa Jabir telah berkata: ‘diri-diri kami dan diri-diri kamu ialah Rasulullah s.a.w.a. dan Ali r.a. dan anak-anak kami ialah Hassan dan Hussain dan perempuan-perempuan kami ialah Fatimah. [7]

Al-Wahidi An-Naisaburi di dalam Asbab Un-Nuzulnya telah menyebut di akhirnya bahawa As-Syakbi telah berkata: Anak-anak kami ialah Hassan dan Hussain perempuan-perempuan kami ialah Fatimah dan diri-diri kami ialah Ali bin Abi Talib r.a. [8]. Al-Qanzuri Al-Hanafi di dalam Yanabiyyul Mawaddahnya menyebutkan berbagai riwayat yang menyatakan bahawa Ali ialah diri Rasulullah s.a.w.a. berdasarkan dari nas ayat yang mulia itu [9]. Asy-Syablanji di dalam Nurrul Absarnya menyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan perempuan-perempuan kami ialah Fatimah dan anak-anak kami ialah Hassan dan Hussain dan diri-diri kami ialah diri kami ialah diri Rasulullah s.a.w.a. dan Ali r.a. [10].

Riwayat yang memberi maksud yang sama dikeluarkan oleh sebahagian para muhaddisin dan mufassirin di antaranya: At-Thabari di dalam Zakhairul ‘Uqba [11], Al-Kanji As-Syafie di dalam Kifayat Ut-Talibnya [12], Al-Hakim di dalam Mustadraknya [13], Abu Naim di dalam An-Nubuwah [14], Fakharuddin Ar-Razi di dalam tafsirnya15, Ibnu Asir di dalam kitab Usdul Khabah16, Basth Ibnu Jauzi di dalam Tazkirah,17 Al-Qurtubi di dalam Al-Jamiul Lil Ahkamil Quran18, Al-Baidhawi di dalam Tafsirnya19, Ibnu Hajar Al-Asqalani di dalam Isabah20 dan lain-lain lagi.



Wallahu'alam.

No comments: