Kita baru saja menyambut Maulidur Rasul dengan mengadakan pelbagai acara dalam usaha mengingati Rasulullah s.a.w. Betapa perjuangan Jungjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. yang begitu besar dalam usaha menegakkan Islam yang suci serta membebaskan ummah dari belenggu dosa dan maksiat.
Alhamdulillah, kita dilahirkan dalam Islam dan dikurniakan nikmat Iman dan Islam yang merupakan dua nikmat yang tidak ternilai harganya. Adakah kita menjaga, membaja dan mempertahankan nikmat-nikmat ini dalam kehidupan kita setiap hari? Hanya kita sahaja yang dapat menjawab persoalan ini.
Baru-baru saya ada menghadiri Majlis Sambutan Maulidur Rasul yang diadakan di tempat yang berhampiran. Melihatkan acara yang disusun-atur, ianya amat baik sekali. Dipenuhi dengan seminar dan pengisian serta beberapa acara lain yang bakal dilaksanakan. Saya serta keluarga berhasrat untuk turut memeriahkan sambutan tersebut dengan menghadiri program yang dirancangkan.
Namun apa yang menyedihkan saya adalah pelaksanaan program tersebut masih lagi dipalit dengan unsur-unsur jahiliyyah moden yang begitu kuat membelenggu ummah dewasa ini. Anak-anak kecil yang tidak mengerti apa-apa dimasukkan ke dalam mindanya dengan maklumat yang tidak bertepatan dengan kesucian Islam yang sebenar. Lagu hindustan yang bertemakan percintaan dimainkan dalam kawasan masjid yang merupakan rumah Allah s.w.t. yang suci merupakan suatu pendedahan yang salah kepada kanak-kanak. Kelak jangan salahkan anak-anak kita membawa masuk lagu-lagu yang lebih teruk lagi di kawasan masjid. Pertunjukkan fesyen yang diadakan walaupun pesertanya adalah di kalangan kanak-kanak, namun kita seharusnya menanamkan nilai-nilai Islam yang sebenarnya yang bukannya dicampur-adukkan dengan nilai-nilai jahiliyyah moden yang semakin diterimapakai pada masa kini. Pakaian yang diperagakan pada pertunjukkan fesyen tersebut kebanyakkannya tidak bertepatan dengan ajaran Islam yang suci.
Sepatutnya dan semestinya mereka yang menganjurkan program yang sebegini peka dengan apa yang bakal dilaksanakan dan bukannya sekadar menjayakannya sahaja tanpa melihat apa yang akan diisi dalam program tersebut. Ingatlah bahawa matlamat tidak menghalalkan cara.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment