Thursday, August 13, 2009

BERDOALAH....

Telah dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah Bin Amr r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
"Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika berbuka puasa tersedia doa' yang tidak akan ditolak." (HR Ibnu Majah dan Abu Dawud)
Abdullah Bin Amr r.a. jika ketika hendak berbuka puasa dia akan mengumpulkan keluarga dan anak-anaknya untuk berdoa'.
Ubaidullah Bin Abi Mulaikah r.a. berkata:
"Saya telah mendengar Abdullah Bin Amr r.a., jika hendak berbuka puasa dia membaca: "Ya Allah, aku bermohon dengan rahmat-Mu yang meliputi segala sesuatu, ampunkanlah aku."
Abu Hurairah r.a. menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
"Tiga orang yang tidak akan ditolak doa' mereka; 1. Imama (raja) yang adil, 2. Orang berpuasa ketika berbuka dan 3. Doa' orang yang teraniaya. Allah SWT mengangkatnya di atas awan pada hari kiamat dan dibuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah SWT berfirman: "Demi Kemuliaan-Ku pasti Aku akan bantu kamu walaupun hanya menunggu masa sahaja." (HR Ibnu Majah, Ahmad, At-Tirmidzi dan An-Nasai')
Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita memperbanyakkan berdoa' terutamanya dalam keadaan yang gawat ini dan bertepatan pula dengan kehadiran bulan Ramadhan Al-Mubarak yang bakal tiba ini. Bulat dan tekatkan keyakinan kita kepada Allah SWT dan yakinlah hanya Allah SWT Yang Maha Berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu.
SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK. TINGKATKAN AMALAN & SEMOGA RAMADHAN KALI INI MERUPAKAN RAMADHAN YANG TERBAIK BUAT KITA SEMUA.
Wallahu'alam.
[Sumber: H. Salim Bahreisy & H. Said Bahreisy. (2007). Terjemah Ringkas Tafsir Ibnu Kathier (Jilid 1). Kuala Lumpur: Pustaka Jiwa. m/s 372-373]

Wednesday, August 12, 2009

CIRI-CIRI ORANG YANG BERIMAN DAN MENDAPAT KEREDHAAN ALLAH SWT

Dalam meniti sisa-sisa kehidupan yang hampir sampai ke penghujungnya ini, terasa sekali betapa kerdilnya diri ini di sisi-Nya. Masih terasa akan segala kemaksiatan yang dilakukan saban hari menukilkan tompok-tompok hitam yang tak berkesudahan. Terasa sekali diri ini amat berdosa kepada-Nya yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang dan keluasan pintu taubat yang dibukakan buat seluruh manusia. Pintu taubat yang dibukakan untuk manusia yang tidak dapat lari dari melakukan kesalahan, kemaksiatan, kekejian dan segala macam perbuatan yang tidak selayaknya dilakukan oleh seorang yang bergelar 'hamba'.

Dalam keadaan dunia yang semakin mencabar dan memerlukan mujahadah ini, seorang insan kerdil yang tidak pernah mengenal erti penat dan lelah dalam kehidupan ini akan sentiasa berjuang dengan berbekalkan istiqamah dan panduan mencapai ketaqwaan sepertimana yang telah dibekalkan kepada manusia iaitu Al-Quranul Kareem serta As-Sunnah Rasul-Nya. Tetapi mengapa manusia sering lalai dan alpa, sering mencari jalan lain dari yang telah ditunjukkan kepada mereka, sering sombong dan angkuh dengan kebolehan, harta dan pangkat yang diperolehi, sering lupa pada tanggungjawab sebagai seorang hamba.

Manusia masih enak dibuai mimpi keduniaan yang tak berkesudahan. Sampai bilakah mimpi ini akan dilayan dan dipatuhi oleh manusia?

Ibnu Kathir dalam tafsirnya [H. Salim Bahreisy & H. Said Bahreisy. (2007). Terjemah ringkas Tafsir Ibnu Kathier (Jilid 6). Kuala Lumpur:Pustaka Jiwa. m/s 31-39] menyatakan bahawa dalam ayat-ayat yang telah dinyatakan di dalam Surah Al-Furqaan: 63-67, Allah SWT berfirman memuji keindahan ciptaan-Nya, bahawa Dialah Yang Maha Berkuasa yang telah menciptakan gugusan bintang di langit, menciptakan matahari pada waktu siang dan menciptakan bulan pada waktu malam sebagai lampu yang menyinari bumi. Dan Dialah Yang Maha Berkuasa yang menjadikan malam dan siang silih-berganti, yang kesemuanya adalah tanda-tanda kekuasaan Allah SWT, maka perhatikanlah bagi orang-orang yang mengingati Allah SWT supaya bersyukur kepadanya.

Ayat-ayat 63-67 menerangkan sifat-sifat dan cara hidup yang dimiliki oleh hamba Allah SWT yang mukmin dan akan memperolehi darjat dan martabat yang tinggi di sisi Allah SWT. Mereka itu disifatkan oleh Allah SWT bahawa mereka berjalan di atas muka bumi dengan rendah hati dan memandang rendah sesamanya dan jika diperjalanan mereka diganggu oleh orang-orang yang jahil dengan kata-kata dan perbuatan yang tidak disukai, mereka tidak akan membalas dengan tindakan yang serupa, bahkan membalasnya dengan kata-kata yang manis. Pada waktu malam, hamba-hamba itu tidak menghabiskan waktunya dengan tidur, tetapi mereka beribadat kepada Allah SWT dengan bertahajjud dan berzikir menyebut nama Allah SWT, mereka sentiasa memohon kepada Allah SWT: "Ya Tuhan kami! Jauhilah kami dari neraka jahannam, sesungguhnya neraka jahannam adalah seburuk-buruk tempatkediaman." Hamba-hamba yang mukmin jika membelanjakan hartanya, mereka tidak membazir untuk menunjukkan kekayaannya dan juga tidak bakhil, tidak berlebihan dalam setiap sesuatu.

Ayat-ayat 68-77 dalam surah yang sama menerangkan bahawa antara sifat-sifat orang mukmin adalah:

1. Tidak mensyirikkan Allah SWT dengan sesuatu pun.

2. Menjauhi dosa-dosa besar dan kecil sekalipun.

3. Menghormati dan menunaikan hak-hak jiran tetangga.

4. Tidak memberikan penyaksian palsu.

5. Menjauhi urusan yang tidak bersangkutan dengan mereka.

6. Memantapkan tauhid kepada Allah SWT.

7. Sentiasa berdoa' ke arah kebaikan kepada diri dan juga orang lain terutamanya ahli keluarga mereka.

8. Bersabar dengan dugaan yang dihadapi serta mengamalkannya.

9. Menjaga kehormatan diri dan keluarga mereka.

Marilah sama-sama kita mengamalkannya. Wallahu'alam.


ASAL MULA KEMAKSIATAN DAN KETAATAN

Syaikh Ibnu 'Athaillah Al-Sukandari menyatakan:

"Punca daripada maksiat itu adalah lupa (lalai) kepada Allah dan memperturutkan syahwat serta redha kepada kehendak nafsu. Manakala punca ketaatan itu adalah kesedaran, memelihara diri dan engkau tidak redha terhadap godaan nafsu."


[Syaikh Ibnu 'Athaillah Al-Sukandari. (2003). Kaifiyat Mempertajam Mata Hati Dalam Mengenal Allah. Selangor Darul Ehsan: Thinker's Library Sdn. Bhd. m/s. 367]

CIRI-CIRI ORANG YANG CELAKA

Ibnu Qayyim Al-Jauziyah menyatakan bahawa ciri-ciri orang yang celaka itu adalah:

  • Semakin banyak ilmunya, semakin bertambah pula kesombongan dan keangkuhannya.
  • Semakin bertambah amalnya, semakin bertambah pula kebanggaannya dan memandang rendah kepada orang lain, dan semakin bertambah sangka baiknya terhadap dirinya sendiri.
  • Semakin bertambah usianya, semakin bertambah pula kerakusannya kepada dunia.
  • Semakin banyak hartanya, semakin bertambah bakhilnya.
  • Semakin meningkat pangkat atau darjatnya, semakin meningkat pula keangkuhan dan kesombongannya.
[Syaikh Ibnu 'Athaillah Al-Sukandari. (2003). Kaifiyat Mempertajam Mata Hati Dalam Mengenal Allah. Selangor Darul Ehsan: Thinker's Library Sdn. Bhd. m/s. 345]