Wednesday, August 12, 2009

CIRI-CIRI ORANG YANG BERIMAN DAN MENDAPAT KEREDHAAN ALLAH SWT

Dalam meniti sisa-sisa kehidupan yang hampir sampai ke penghujungnya ini, terasa sekali betapa kerdilnya diri ini di sisi-Nya. Masih terasa akan segala kemaksiatan yang dilakukan saban hari menukilkan tompok-tompok hitam yang tak berkesudahan. Terasa sekali diri ini amat berdosa kepada-Nya yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang dan keluasan pintu taubat yang dibukakan buat seluruh manusia. Pintu taubat yang dibukakan untuk manusia yang tidak dapat lari dari melakukan kesalahan, kemaksiatan, kekejian dan segala macam perbuatan yang tidak selayaknya dilakukan oleh seorang yang bergelar 'hamba'.

Dalam keadaan dunia yang semakin mencabar dan memerlukan mujahadah ini, seorang insan kerdil yang tidak pernah mengenal erti penat dan lelah dalam kehidupan ini akan sentiasa berjuang dengan berbekalkan istiqamah dan panduan mencapai ketaqwaan sepertimana yang telah dibekalkan kepada manusia iaitu Al-Quranul Kareem serta As-Sunnah Rasul-Nya. Tetapi mengapa manusia sering lalai dan alpa, sering mencari jalan lain dari yang telah ditunjukkan kepada mereka, sering sombong dan angkuh dengan kebolehan, harta dan pangkat yang diperolehi, sering lupa pada tanggungjawab sebagai seorang hamba.

Manusia masih enak dibuai mimpi keduniaan yang tak berkesudahan. Sampai bilakah mimpi ini akan dilayan dan dipatuhi oleh manusia?

Ibnu Kathir dalam tafsirnya [H. Salim Bahreisy & H. Said Bahreisy. (2007). Terjemah ringkas Tafsir Ibnu Kathier (Jilid 6). Kuala Lumpur:Pustaka Jiwa. m/s 31-39] menyatakan bahawa dalam ayat-ayat yang telah dinyatakan di dalam Surah Al-Furqaan: 63-67, Allah SWT berfirman memuji keindahan ciptaan-Nya, bahawa Dialah Yang Maha Berkuasa yang telah menciptakan gugusan bintang di langit, menciptakan matahari pada waktu siang dan menciptakan bulan pada waktu malam sebagai lampu yang menyinari bumi. Dan Dialah Yang Maha Berkuasa yang menjadikan malam dan siang silih-berganti, yang kesemuanya adalah tanda-tanda kekuasaan Allah SWT, maka perhatikanlah bagi orang-orang yang mengingati Allah SWT supaya bersyukur kepadanya.

Ayat-ayat 63-67 menerangkan sifat-sifat dan cara hidup yang dimiliki oleh hamba Allah SWT yang mukmin dan akan memperolehi darjat dan martabat yang tinggi di sisi Allah SWT. Mereka itu disifatkan oleh Allah SWT bahawa mereka berjalan di atas muka bumi dengan rendah hati dan memandang rendah sesamanya dan jika diperjalanan mereka diganggu oleh orang-orang yang jahil dengan kata-kata dan perbuatan yang tidak disukai, mereka tidak akan membalas dengan tindakan yang serupa, bahkan membalasnya dengan kata-kata yang manis. Pada waktu malam, hamba-hamba itu tidak menghabiskan waktunya dengan tidur, tetapi mereka beribadat kepada Allah SWT dengan bertahajjud dan berzikir menyebut nama Allah SWT, mereka sentiasa memohon kepada Allah SWT: "Ya Tuhan kami! Jauhilah kami dari neraka jahannam, sesungguhnya neraka jahannam adalah seburuk-buruk tempatkediaman." Hamba-hamba yang mukmin jika membelanjakan hartanya, mereka tidak membazir untuk menunjukkan kekayaannya dan juga tidak bakhil, tidak berlebihan dalam setiap sesuatu.

Ayat-ayat 68-77 dalam surah yang sama menerangkan bahawa antara sifat-sifat orang mukmin adalah:

1. Tidak mensyirikkan Allah SWT dengan sesuatu pun.

2. Menjauhi dosa-dosa besar dan kecil sekalipun.

3. Menghormati dan menunaikan hak-hak jiran tetangga.

4. Tidak memberikan penyaksian palsu.

5. Menjauhi urusan yang tidak bersangkutan dengan mereka.

6. Memantapkan tauhid kepada Allah SWT.

7. Sentiasa berdoa' ke arah kebaikan kepada diri dan juga orang lain terutamanya ahli keluarga mereka.

8. Bersabar dengan dugaan yang dihadapi serta mengamalkannya.

9. Menjaga kehormatan diri dan keluarga mereka.

Marilah sama-sama kita mengamalkannya. Wallahu'alam.


No comments: