Wednesday, March 25, 2009

Rasuah (Part 3)

Assalamu'alaikum w.b.t.,

Sejak akhir-akhir ini soal rasuah semakin meruncing dan amat merisaukan kita. Di saat seluruh dunia menghadapi krisis kewangan global begitu serius ini sepatutnya semua pihak lebih menumpukan perhatian ke arah menangani krisis ini dengan cara yang terbaik iaitu dengan kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah yang merupakan panduan yang terbaik pada setiap zaman dan keadaan. Namun, kita seringkali mencari jalan lain, cara lain dan penyelesaian yang bukan datangnya dari Allah s.w.t. Oleh sebab itulah kita akan sentiasa dibelenggu dengan pelbagai masalah yang tak berkesudahan sampai bila-bila kerana 'ubat' yang kita ambil adalah 'ubat' yang salah dan akan mengakibatkan kemusnahan, kehancuran dan kemudaratan kepada kita juga.


Kita lupa bahawa asasnya adalah Islam. Dalam apa jua keadaan, Islam adalah jalan penyelesaian yang terbaik. Tetapi dewasa ini ramai antara kita yang mengaku akan perkara tersebut, namun pengakuan yang hanya dilakukan di mulut dan bukannya dicernakan di hati serta praktikal. Misalnya cara kita memilih pemimpin jelas menunjukkan kita membelakangkan Islam. Pemimpin yang dipilih adalah berdasarkan kepada populariti dan duniawi semata-mata dan bukannya berlandaskan keimanan. Mereka yang tidak mempunyai akhlaq yang baik masih dijadikan pemimpin kita, sebaliknya mereka yang layak memegang tampuk pemerintahan ditolak mentah-mentah. Institusi ulama' tidak langsung diberi peranan yang sepatutnya. Lebih menyedihkan apabila ulama' mengeluarkan sesuatu fatwa, ianya ditentang oleh golongan pemimpin sendiri.


Tidak hairanlah mengapa negara kita yang tercinta ini diselubungi oleh berbagai macam masalah akhlaq yang tak berkesudahan. Artis-artis dijadikan ikutan oleh golongan remaja, harta dan wang ringgit menjadi matlamat kehidupan yang utama, Islam hanya digunapakai ketika kelahiran, urusan perkahwinan dan ketika kematian sahaja. Islam bukannya sekadar itu sahaja malah ianya meliputi setiap inci kehidupan manusia. Dewasa ini, sumpah hanya menjadi barang permainan insan-insan yang mengaku Islam tapi hakikat sebenarnya berlainan sekali. Fitnah-menfitnah menjadi satu perkara yang biasa saja. Pembohongan demi pembohongan seringkali diwar-warkan sebagai sesuatu yang benar sehinggakan kita sendiri terkeliru antara yang haq dan yang salah.


Ciri-ciri kepimpinan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. semakin dipinggirkan. Islam dijadikan alat untuk meraih sokongan dan simpati masyarakat dalam memastikan kekuasaan dapat dilangsungkan. Nasionalisme diagung-agungkan. Pemimpin bukan sahaja bertanggungjawab memimpin negara namun tanggungjawabnya lebih dari itu lagi. Kehidupan yang bermewah-mewahan adalah idaman para pemimpin masa kini. Rakyat ditindas, disekat untuk menyuarakan pendapat, diperah segala keringat bagi memuaskan nafsu yang rakus para pimpinan dan dikenakan dengan bermacam-macam tindakan yang dianggap 'menurut undang-undang negara'. Pemimpin yang sudah jelas bersalah masih bebas menikmati kemudahan yang disediakan negara, masih mampu menunding jari ke arah orang lain, masih ego dan bangga dengan kesalahannya dengan pelbagai alasan. Pemimpin yang dituduh melakukan kesalahan masih bebas tanpa sebarang tindakan undang-undang yang dikenakan terhadap mereka.


Kita mesti ingat bahawa kejatuhan Empayar Melaka yang gah dengan segala hasil mahsul dan kekayaan yang dikumpul adalah disebabkan oleh mereka yang mengamalkan korupsi/rasuah, nepotisme, kronisme, womanizer dan yang lebih teruk daripada itu iaitu disebabkan pemimpin yang tergelincir dari landasan Islam yang sebenar. Allah s.w.t. masih memberi peluang kepada kita untuk bertaubat dan kembali ke jalan yang benar selagimana kita masih bernafas. Oleh itu, janganlah disia-siakan peluang ini selagi nyawa masih dikandung badan. Bersihkan diri dari segala noda dan maksiat yang dilakukan segera sebelum semuanya sudah terlambat! Sedarlah bahawa kita tidak tahu bilakah nyawa kita akan diambil oleh Penciptanya. Apakah yang bakal kita jawab di hadapan Rabbul Jalil sekiranya rasuah dan segala macam maksiat menjadi amalan hidup kita? Jangan kita bermain-main dengan hukuman dan seksaan Allah s.w.t. kerana ianya amat pedih sekali. Di dunia mungkin kita boleh berbangga dan angkuh dengan apa yang dilakukan kerana kuasa yang sementara ini masih di tangan kita tapi hukuman dari Raja Segala Raja tiada siapa yang bisa melawannya. Kepada para pendokong dogma nasionalisme, kembalilah kepada perjuangan yang meletakkan Islam sebagai wadah perjuangan. Nobatkan Islam dan bukannya bangsa. Bertaubatlah wahai insan.....

No comments: