Wednesday, April 30, 2008

TAFSIR SURAH AL-MAAIDAH: 80-82

Tafsir al-Maidah 80-82: Ilmu di kalangan orang fasik
Oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Thu Mar 27, 08 12:46:44 pm MYT - Harakahdaily

Ilmu dikurniakan di kalangan mereka yang hina. Yang dimaksudkan dengan ilmu di kalangan orang yang hina adalah ilmu di kalangan orang yang fasik. Orang yang fasik bercakap tentang ilmu bersandarkan ayat al-Quran dan hadis Nabi s.a.w. Apabila keadaan ini berlaku menjelaskan bahawa inilah penyakit yang melanda umat zaman dahulu. Menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran tidak berjalan kerana orang yang fasik mempunyai sifat penakut kerana rohnya tidak kuat dan mereka pula takut kepada dosanya. Mereka sedar bahawa mereka mempunyai ilmu dan dosa. Mereka sedar bahawa mereka mempunyai perasaan takut mati. Orang sedemikian rupa mendapat ilmu dalam perkara agama. Apabila berlaku keadaan demikian, maka menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran ditinggalkan, tidak dilaksanakan dengan jayanya.

Seterusnya Allah Taala berfirman yang bermaksud,
"Engkau melihat kebanyakan daripada mereka itu berwalikan kepada orang-orang yang kafir."
(Surah al-Maidah: 80)

Kebanyakan daripada mereka itu (orang kafir dari ahlil kitab) berwalikan kepada orang-orang kafir. Yang dimaksudkan dengan berwalikan dengan orang kafir di sini adalah berwalikan kepada orang kafir musyrikin seperti orang kafir Makkah. Inilah kawan mereka, tidak menjadi pengikut Nabi Muhammad s.a.w. pada hal mereka mengetahui isi kandungan kitab Allah.

Sesetengah ulama lain menyatakan yang dimaksudkan dengan ayat ini adalah orang-orang munafik. Dia mengaku beriman sedangkan hatinya tidak beriman. Antara dalilnya adalah berwalikan kepada orang kafir dengan sebab itulah mereka tidak menjalankan perintah Allah dengan cara yang betul dan sesungguhnya. Firman Allah yang bermaksud,
"Alangkah buruknya apa yang mereka kemukakan untuk diri mereka."
(Surah al-Maidah: 80)

Kalau itulah amalan mereka maka itulah amalan yang buruk, tidak boleh menjadi bekalan pada hari kiamat. Firman Allah yang bermaksud,
"bahawa Allah memurkai mereka itu."
(Surah al-Maidah: 80)

Allah Taala memurkai golongan seperti ini kerana tidak mencegah kemungkaran, reda kepada perkara tersebut dan berwalikan kepada orang kafir. Firman Allah lagi yang bermaksud,
"Dan di dalam azab neraka mereka kekal selama-lamanya."
(Surah al-Maidah: 80)

Apabila mereka menjadi kufur kepada perintah Allah sudah pasti mereka kekal di dalam neraka.
Firman Allah yang bermaksud,
"Kalaulah sekiranya mereka itu benar-benar beriman kepada Allah dan kepada Nabi s.a.w. dan kepada apa yang diturunkan kepadanya (al-Quran), tidaklah mereka itu menjadikan orang kafir itu sebagai wali mereka. Dan kebanyakan daripada mereka itu adalah orang-orang yang fasik (keluar daripada taat kepada Allah dan rasul-Nya s.a.w.)"
(Surah al-Maidah: 81)
Mereka tidak taat kepada Allah dan Rasul-Nya sekali gus menolak al-Quran sebagai kitab panduan kehidupan mereka di dunia ini. Firman Allah yang bermaksud,
"Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad s.a.w.) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman adalah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman adalah orang-orang yang berkata, "bahawa kami ini ialah orang-orang Nasara. Yang demikian itu disebabkan ada antara mereka pendita-pendita dan ahli ibadat dan kerana mereka tidak pula berlaku sombong."
(Surah al-Maidah: 82)

Para ulama membincangkan sebab turunnya ayat ini. Al-Qurtubi dan Ibnu Kathir serta ulama-ulama tafsir yang lain telah menyebut beberapa peristiwa yang berkait dengan ayat ini dan mereka mengatakan bahawa peristiwa-peristiwa ini adalah sebab kepada Allah SWT menurunkan ayat ini untuk menjadi pengajaran kepada orang-orang yang beriman.

Yang pertama ayat ini diturunkan bersempena dengan Raja Najasyi (Raja Habasyah), pembesar-pembesar dan pengikut-pengikutnya, apabila tiba kepada mereka orang-orang Islam yang berhijrah dalam peristiwa hijrah yang pertama sebelum daripada berhijrah ke Al-Madinatil Munawwarah.

Tuesday, April 29, 2008

KE ARAH MENCAPAI MUSLIM YANG BERTAQWA

Dari Nabi S.A.W., "Pada waktu malam aku diisrakkan sampai ke langit, Allah S.W.T telah memberikan lima wasiat, antaranya :

  1. Janganlah engkau gantungkan hatimu kepada dunia kerana sesungguhnya Aku tidak menjadikan dunia ini untuk engkau.
  2. Jadikan cintamu kepada-Ku sebab tempat kembalimu adalah kepada-Ku.
  3. Bersungguh-sungguhlah engkau mencari syurga.
  4. Putuskan harapan dari makhluk kerana sesungguhnya mereka itu sedikitpun tidak ada kuasa di tangan mereka.
  5. Rajinlah mengerjakan sembahyang tahajjud kerana sesungguhnya pertolongan itu berserta qiamullail.


Ibrahim bin Adham berkata, "Telah datang kepadaku beberapa orang tetamu, dan saya tahu mereka itu adalah wakil guru tariqat. Saya berkata kepada mereka, berikanlah nasihat yang berguna kepada saya, yang akan membuat saya takut kepada Allah S.W.T. Lalu mereka berkata, "Kami wasiatkan kepada kamu 7 perkara, iaitu :

  1. Orang yang banyak bicaranya janganlah kamu harapkan sangat kesedaran hatinya.
  2. Orang yang banyak makan janganlah kamu harapkan sangat kata-kata himat darinya.
  3. Orang yang banyak bergaul dengan manusia janganlah kamu harapkan sangat kemanisan ibadahnya.
  4. Orang yang cinta kepada dunia janganlah kamu harapkan sangat khusnul khatimahnya.
  5. Orang yang bodoh janganlah kamu harapkan sangat akan hidup hatinya.
  6. Orang yang memilih berkawan dengan orang yang zalim janganlah kamu harapkan sangat kelurusan agamanya.
  7. Orang yang mencari keredhaan manusia janganlah harapkan sangat akan keredhaan Allah daripadanya."

Monday, April 28, 2008

DEMI ISLAM TERCINTA


TUJUH GOLONGAN YANG AKAN MENDAPAT LINDUNGAN ARASY-NYA PADA HARI AKHIRAT

Abu Hurairah ra telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
”Terdapat 7 golongan yang akan mendapat lindungan arasyNya pada hari yang tiada lindungan melainkan lindungan daripadaNya. Pemimpin yand adil; pemuda yang masanya dihabiskan untuk beribadah kepada Allah SWT; seseorang yang hatinya terpaut pada masjid; 2 lelaki yang berkasih sayang dan bertemu dan berpisah kerana Allah SWT; lelaki yang digoda oleh perempuan cantik dan berpengaruh untuk melakukan maksiat tetapi dia menolak dengan mengatakan Aku Takutkan Allah; seseorang yang bersedekah dan menyembunyikannya sehinggakan tangan kanannya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kirinya; dan seseorang yang mengingati Allah ketika bersendirian sehinggakan mengalir air matanya kerana Allah SWT.”
(Riwayat Muslim)

1. Pemimpin (imam) yang adil. Setiap yang dipertanggungjawabkan akan dipersoalkan kembali kelak. Maka bergembiralah kepada mana-mana peminpin yang dapaat berlaku adil. Pemimpin di sini termasuklah seorang suami yang memimpin isteri dan anak-anak. Seorang isteri yang memimpin anak-anaknya dan sebagainya.

2. Pemuda yang membesar dalam ibadah kepada Allah. Naungan Ilahi ini juga dijanjikan kepada lelaki dan perempuan yang sentiasa hidup dalam ibadah kepada Allah. Sentiasa menyedari bahawa Allah melihat segala perbuatannya. Di mana segalanya di bawah kawalan dan naungan Ilahi.

3. Lelaki yang hatinya sentiasa rindukan (teringat-ingatkan) rumah Allah. Begitu jua bagi lelaki yang hatinya sentiasa rindukan rumah Allah. Tertunggu-tunggu setiap masa untuk beribadah di dalamnya. Baik untuk sembahyang wajib lima waktu setiap hari dan untuk ibadah lain.

4. Dua orang lelaki yang cinta mencintai kerana Allah bertemu dan berpisah kerana ALLAH.
Dalam satu hadis Rasulullah bersabda:

“Allah telah mengutuskan malaikat kepada seorang lelaki semasa dalam perjalanan untuk menziarahi saudaranya kerana Allah”. Lalu malaikat bertanya: “Nak kemana?” Dijawab: “Aku mahu menziarah saudara ku… … ..” Tanya malaikat lagi: Untuk apa?” lelaki itu menjawab: Tiada apa-apa tujuan.” Ditanya lagi: “Apa hubungan dengan kamu?” Lalu dijawab oleh lelaki itu:” Tiada apa-apa hubungan.” Ditanya lagi: ” Apa budinya kepada kamu?” Dijawab:”Tiada apa-apa pun.” Ditanya lagi:” Apa tujuannya?” Lelaki itu menjawab: ”Aku mencintainya kerana Allah.” Berkata malaikat: sesungguhnya Allah telah mengutusku kepada mu untuk memberitahu bahawa kerana kecintaanmu kepadanya maka ALLAH telah mengizinkan kamu memasuki syurgaNYA.”
(Riwayat Muslim)

Perasaan sayang dan kasih terhadap orang lain bukan kerana ada tujuan lain. Bukan untuk memikat anak gadisnya atau hartanya, sebaliknya hanya mengharap keredhaan Ilahi. Hanya kerana Allah hubungan ini dieratkan.

5. Lelaki apabila mengingati ALLAH bersendirian menitis airmatanya. Hadirnya perasaan takut kepada ALLAH walaupun bersendirian sehingga menitis airmatanya. Ianya bukan saja-saja tetapi hadir dari hati yang menginsafi kebesaran ALLAH.

6. Seorang lelaki yang dirangsang oleh seorang perempuan berdarjat lagi cantik untuk berzina, lalu ia berkata: “Tidak! Aku takutkan ALLAH” (inni akhofullah). Sesiapa yang takut untuk berbuat kesalahan, takut kepada ALLAH dan azab api neraka akan sentiasa mendapat perlindungan dari-NYA.

7. Lelaki yang bersedekah dan tidak pula dimegah-megahkannya.Pemberian yang mengharapkan balasan dari Ilahi tidak akan diperbesar-besarkan. sebaliknya akan dilakukan secara tersembunyi. Sehingga digambarkan seolah-olah tangan yang kiri tidak mengetahuinya apa yang disedekahkan oleh tangan kanan. Lupakan kebaikan dan pemberian kita, sebaliknya banyak mengingatkan kesilapan dan kesalah diri kita terhadap ALLAH dan orang lain.
Rebutlah peluang ini, jadilah orang yang beruntung di akhirat. Tiada yang mustahil untuk kita lakukan. Jadilah hambaNYa yang ikhlas dan redha atas segala yang berlaku. Semoga kita semua tergolong dalam golongan orang yang mendapat perlindunganNYA selalu.
Wallahu’alam.

HASAD DENGKI DALAM PANDANGAN ISLAM

Hasad atau dengki satu daripada maksiat batin yang boleh membinasakan seseorang. Kata Imam Al-Ghazali, ia sebesar-besar kejahatan manusia yang dicela oleh syarak. Katanya lagi, ketahuilah hasad itu haram dan maknanya ialah engkau suka hilang nikmat daripada orang yang engkau dengki atau turun bala kepada orang itu (Hidayatus Salikin, 206).

Sifat hasad itu mendatangkan kemurkaan Allah. Ia boleh membinasakan diri seseorang dan amalannya. Rasulullah bersabda bermaksud:
"Takutlah kamu semua akan sifat dengki sebab sesungguhnya dengki itu memakan segala kebaikan sebagaimana api memakan kayu bakar."
(Riwayat Abu Daud daripada Abi Hurairah dalam Riadus Salihin, 4:1441)

Menurut Imam Al-Ghazali, dengki itu ada tiga macam:
  • Pertama menginginkan agar kenikmatan orang lain itu hilang dan digantikan kepadanya.
  • Kedua, menginginkan agar kenikmatan orang lain itu hilang sekalipun ia tidak dapat menggantikannya, baik kerana merasa mustahil dirinya akan dapat menggantikannya atau memang kurang senang memperolehinya atau sebab lain. Asal orang itu jatuh, ia gembira. Ini lebih jahat daripada dengki yang pertama.
  • Ketiga, tidak ingin kalau kenikmatan orang lain itu hilang tetapi ia benci kalau orang itu mendapat kenikmatan lebih daripada kenikmatan yang dimilikinya.

Dengki hanya dimiliki orang yang berjiwa rendah dan sifat itu mendorongnya berangan-angan kosong untuk mendapatkan kenikmatan yang dimiliki orang lain. Di dalam diri setiap manusia, memang ada keinginan kepada persaingan untuk melebihi atau mendapat nikmat yang sama. Sifat ingin bersaing secara sihat adalah halal. Ia dikenal sebagai ghibtah.

Seseorang yang menyedari dirinya serba kurang, apabila melihat orang lain maju dan mendapat lebih nikmat maka ia berusaha bersungguh-sungguh seperti yang dilakukan oleh orang lain itu. Ini bukanlah dengki sebenarnya. Ibn Masud meriwayatkan, Rasulullah ada bersabda bermaksud:

"Tidak digalakkan adanya perasaan iri hati melainkan pada dua keadaan. Pertama, keadaan orang yang dikurniakan Allah harta benda dan membelanjakannya kepada perkara kebajikan. Kedua keadaan orang yang dikurniakan ilmu pengetahuan Agama lalu ia beramal dengannya dan mengajarkannya."

(Riwayat Bukhari, Muslim dan Tarmizi - Mustika Hadis, 106)


Dalam hadis tersebut, Rasulullah menerangkan dua nikmat pemberian itu amat besar kelebihannya sehingga mustahaklah tiap-tiap orang beriri hati dan berusaha dengan bersungguh-sungguh semoga Allah mengurniakan nikmat itu. Dengan itu dapatlah ia menggunakannya menurut cara sebaik-baiknya seperti yang digunakan oleh dua orang itu.


Kesimpulannya, hasad yang membawa kerosakan dan bala tidaklah dihalalkan. Yang dituntut oleh agama ialah iri hati untuk turut berusaha bersungguh-sungguh bagi mendapatkan nikmat Allah dan menggunakannya kepada perkara yang diredai-Nya. Wallahua'lam.

Saturday, April 26, 2008

Cinta Dunia…


Firman Allah s.w.t.:

"(7) Sesungguhnya orang-orang yang tidak menaruh ingatan akan menemui Kami (pada hari akhirat untuk menerima balasan), dan yang reda (berpuashati) dengan kehidupan dunia semata-mata serta merasa tenang tenteram dengannya, dan orang-orang yang tidak mengindahkan ayat-ayat (keterangan dan tanda-tanda kekuasasaan) Kami, - (8) mereka yang demikian keadaannya (di dunia), tempat kediaman mereka (di akhirat) ialah neraka; disebabkan keingkaran dan kederhakaan yang mereka telah lakukan" (Surah Yunus: 7-8)

Apabila seseorang melupakan tentang akhirat dan asyik memikirkan hal-hal keduniaan serta tenteram dengannya, maka perbuatan tersebut boleh membawa kepada pelakunya dimasukkan ke dalam neraka. Sesungguhnya pecinta dunia hanya memberikan perhatian terhadap lonjakan dan permintaan nafsu syahwatnya serta akhirnya sanggup melakukan apa saja demi untuk mencapai apa yang dicita-citakan tanpa berpandukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah yang suci ini. Sekiranya keadaan ini berleluasa dilakukan oleh umat manusia dan tuntutan syariat diabaikan, maka akan timbullah malapetaka yang hebat terhadap aqidah umat manusia yang ber’tuhan’kan dunia semata-mata.

Sesungguhnya Allah s.w.t telah mengenalkan dunia dalam beberapa tempat di dalam Kitab-Nya dan tidak mengharamkan seluruhnya, kerana kebanyakan hal yang masukdalam kategori dunia merupakan sesuatu yang diperlukan untuk menegakkan kehidupan umat manusia tetapi kehendak-kehendak syariat hendaklah dipatuhi. Firman Allah s.w.t.:

"Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan Akhirat). dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya" (Surah Al-Hadid:20)

"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)" (Surah A’li Imran:14)

Oleh yang demikian, umat manusia dituntut untuk menjadikan perhatian utamanya kepada akhirat dan jadikanlah dunia ini hanya sebagai jambatan untuk kita sampai ke akhirat dengan selamat. Suburkanlah kehidupan ini dengan amal ibadat yang ikhlas kepada Allah s.w.t. semata-mata dan hiasilah ia dengan sifat-sifat mahmudah. Berhati-hatilah dengan falsafah barat yang bersifat materialistik dan mana-mana aturan hidup yang menjadikan dunia sebagai matlamat utamanya.

Renungkanlah satu hadith daripada Abu Darda’ r.a. berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Seandainya kalian tahu pa yang aku tahu nescaya kalian sedikit tertawa dan banyak menangis. Nescaya dunia menjadi hina bagi kalian dan pasti kalian mengutamakan akhirat” (Riwayat At-Thabrani, Tirmidzi dan Ibnu Majah. Permulaan hadith ini diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

Cernakanlah Islam dalam ertikata yang sebenarnya dalam setiap detik kehidupan yang kita tempuhi. Semoga kita akan berjaya di dunia dan di akhirat serta diberikan ganjaran Syurga-Nya di akhirat kelak, InsyaAllah.

[Dipetik dari buku yang ditulis oleh Sa’id Hawwa: Intisari Ihya’ Ulumuddin Al-Ghazali – Mensucikan Jiwa; Konsep Tazkiyatun-Nafs]

Friday, April 25, 2008

KELEBIHAN & FAEDAH BERSELAWAT KE ATAS BAGINDA RASULULLAH S.A.W.

  1. Menjunjung Perintah Allah s.w.t.
  2. Perkara yang sama-sama dibuat oleh Allah s.w.t. kerana Allah s.w.t. juga berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. walaupun maknanya berlainan.
  3. Perkara yang sama-sama dibuat oleh para malaikat kerana para malaikat juga berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. walaupun maknanya berlainan.
  4. Dikurniakan sepuluh rahmat oleh Allah s.w.t. atas setiap selawat.
  5. Ditinggikan pangkatnya sepuluh darjat.
  6. Dituliskannya baginya sepuluh kebajikan.
  7. Dihapuskannya daripadanya sepuluh kejahatan.
  8. Diharapkan doanya dimakbulkan kerana selawat inilah yang menaikkan doa itu ke langit.
  9. Mendapat syafa'at Nabi Muhammad s.a.w.
  10. Diampunkan dosa.
  11. Menyelesaikan masalah atau menghilangkan dukacita.
  12. Membolehkan dekat dengan Nabi Muhammad s.a.w. pada hari Qiamat kelak.
  13. Boleh menggantikan sedeqah bagi orang yang tidak sanggup.
  14. Ditunaikan segala hajat.
  15. Mendapat doa daripada malaikat dan rahmat Allah s.w.t.
  16. Membersihkan hati dan mensucikannya.
  17. Mendapat khabar gembira sebelum mati bahawa dia tergolong dalam ahli syurga.
  18. Terlepas daripada huru-hara hari Qiamat.
  19. Mendapat doa' dan salam Nabi Muhammad s.a.w.
  20. Mengingat kembali perkara yang lupa.
  21. Mengharumkan majlis dan tidak ada penyesalan dalam majlis itu.
  22. Menghilangkan kemiskinan.
  23. Tidak termasuk dalam orang yang bakhil.
  24. Terlepas daripada kutukan Nabi Muhammad s.a.w. : "Hinalah orang yang disebutkan namaku di sisinya tetapi dia tidak berselawat".
  25. Menyenangkan jalan-jalan masuk ke syurga.
  26. Menjauhkan majlis daripada menjadi lagha.
  27. Menyempurnakan setiapa kalimah yang dimulakan dengan memuji Allah s.w.t.
  28. Mendapat Nur ketika lali di Titian (Sirat).
  29. Menjadikan kita tidak bersifat kasar.
  30. Mendapat pujian Allah s.w.t. di sisi para malaikat.
  31. Diberkatkan umur dan semua pekerjaannya.
  32. Mendapat rahmat Allah s.w.t. dan sentiasa dikasihi Allah s.w.t.
  33. Menambah mahabbah kasih-sayang terhadap Nabi Muhammad s.a.w.
  34. Allah s.w.t. dan Rasul-Nya s.a.w. bertambah kasih kepada kita.
  35. Mendapat petunjuk dan hati menjadi hidup.
  36. Nama orang yang berselawat disebut-sebut di sisi Nabi Muhammad s.a.w.
  37. Menetapkan kaki di Titian (Siratul Mustaqim).
  38. Menunaikan sedikit hak Nabi Muhammad s.a.w. dan bersyukur kepada Allah s.w.t.
  39. Termasuk daripada zikrullah mengigat Allah s.w.t. dan Nabi Muhammad s.a.w.
  40. Mendapat kemuliaan dan keistimewaan daripada Allah s.w.t.

- Dipetik daripada Kitab Jilaul Afham (Ibnu Qoyyim Al-Jauziyah).

UNTUK RENUNGAN ………..


KHUTBAH TERAKHIR NABI MUHAMMAD S.A.W.

Wahai manusia …

Dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku akan dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir pada hari ini.

Wahai manusia …

Sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan setiap harta orang Muslim sebagai amanah yang suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapa pun jua agar orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu, dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah s.w.t telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia …

Sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembut terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang tidak kamu sukai ke dalam rumah kemudian dilarang melakukan zina.

Wahai manusia …

Dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima waktu sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadat haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah bersaudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lain kecuali dalam taqwa dan beramal soleh.

Ingatlah, bahawa kamu akan mengadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia …

Tidak ada Nabi dan Rasul yang datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang yang mendengar ucapanku, menyampaikannya pula kepada orang lain, dan hendaklah orang lain itu menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dan mereka yang mendengar terus dariku. Saksikanlah ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.

#####################################################################################

Marilah bersama-sama kita merenung sejenak intipati Khutbah Terakhir Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w sebagai satu ikatan dan simpulan yang teguh yang mesti kita garapkan di dalam amalan kita setiap detik dan waktu. Tegakkanlah Islam walau di mana kita berada kerana balasannya tidak ternilai di akhirat kelak. Ingatlah hidup di dunia hanya sekadar satu persinggahan untuk kita menuju ke alam akhirat. Wassalam.