Friday, April 25, 2008

UNTUK RENUNGAN ………..


KHUTBAH TERAKHIR NABI MUHAMMAD S.A.W.

Wahai manusia …

Dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku akan dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir pada hari ini.

Wahai manusia …

Sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan setiap harta orang Muslim sebagai amanah yang suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapa pun jua agar orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu, dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah s.w.t telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia …

Sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembut terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang tidak kamu sukai ke dalam rumah kemudian dilarang melakukan zina.

Wahai manusia …

Dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima waktu sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadat haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah bersaudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lain kecuali dalam taqwa dan beramal soleh.

Ingatlah, bahawa kamu akan mengadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia …

Tidak ada Nabi dan Rasul yang datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang yang mendengar ucapanku, menyampaikannya pula kepada orang lain, dan hendaklah orang lain itu menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dan mereka yang mendengar terus dariku. Saksikanlah ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.

#####################################################################################

Marilah bersama-sama kita merenung sejenak intipati Khutbah Terakhir Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w sebagai satu ikatan dan simpulan yang teguh yang mesti kita garapkan di dalam amalan kita setiap detik dan waktu. Tegakkanlah Islam walau di mana kita berada kerana balasannya tidak ternilai di akhirat kelak. Ingatlah hidup di dunia hanya sekadar satu persinggahan untuk kita menuju ke alam akhirat. Wassalam.

No comments: