Friday, May 2, 2008

KEMATIAN ADALAH PASTI

Makhluk bernyawa di bumi ini pasti akan menghadapi kematian. Namun bila waktunya, hanya Allah yang Maha Mengetahui. Firman Allah bermaksud:
"Semua yang ada di bumi akan binasa. Dan tetap kekal Zat Tuhanmu yang memiliki kebesaran dan kemuliaan."
(Ar-Rahman: 26-27)

Itulah kenyataan yang perlu kita terima dengan redha. Ini bertetapan dengan Firman Allah bermaksud:
"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati."
(Al-Anbiyaa': 35)

Kematian dan kehidupan bersilih ganti dalam perjalanan hidup di alam ini adalah bersifat sementara. Begitu juga kehidupan manusia di atas bumi ini. Rasulullah sering mengingatkan umatnya supaya seimbang dalam pencarian hidup di dunia dan di akhirat kelak.

Rasulullah juga memuji umatnya yang sentiasa mengingati mati dan menganggap sebagai seorang yang paling bijaksana di kalangan orang mukmin. Sabda Nabi s.a.w bermaksud:
"Orang yang paling bijaksana di kalangan kamu ialah orang yang sentiasa menghisab dan menghitung dirinya serta beramal sebagai persediaan untuk mengadap Allah selepas mati. Sedangkan orang yang kurang waras ialah orang yang sentiasa menuruti hawa nafsunya dan sentiasa berangan-angan kosong terhadap Allah."
(HR Tirmizi)

'Fitnah dunia' seperti isteri, harta, anak, pangkat dan sebagainya boleh menyebabkan manusia lalai dan lupa kepada kematian. Sabda Baginda lagi bermaksud:
"Perbanyakkanlah mengingati mati yang akan menghapuskn kelazatan. Jika ia diingati dan direnung pada waktu susah, nescaya perasaan akan menjadi lapang dan tenang. Dan jika diingati pada waktu senang, nescaya hati dan perasaan akan sedar dan menginsafi diri."
(HR al-Bazaar dan Baihaqi)


Mari bersama-sama di sini kita sedekahkan Al-Fatihah ke atas ruh Almarhum semoga dicucuri rahmat dan tergolong dalam kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah ...

Sentiasalah kita menginsafi diri dan berdoa agar kita digolongkan dari kalangan beriman dan ditempatkan di syurga kelak. Insya-Allah ...


Wassalam..

No comments: