Tuesday, December 30, 2008

Cara-cara Jauhi Maksiat

Tercatat dalam buku "Bidayatul Hidayah" yang ditulis oleh Al-Imam Hujjatul Islam Al-Ghazali r.a. ada menyatakan beberapa cara yang boleh kita amalkan dan cernakan dalam diri kita dalam perjalanan hidup di dunia ini untuk menjadi seorang insan yang bertaqwa. Perkara yang amat penting adalah kita menjauhi maksiat yang boleh menambahkan tompok-tompok hitam yang akan melekat dan menghitamkan hati kita dan seterusnya akan menjauhkan kita dari landasan Islam yang sebenar. Antara cara-cara yang digariskan oleh Imam Ghazali r.a. adalah.

1. Cara-cara meninggalkan maksiat zahir (Anggota tubuh):

a. Menjaga mata
- Mata merupakan anugerah Allah s.w.t. yang tidak ternilai kepada hamba-hamba-Nya. Oleh yang demikian peliharalah ia dari 4 perkara:
i. Melihat perempuan yang bukan muhram
ii. Melihat gambar-gambar lucah yang membangkitkan syahwat
iii. Melihat orang lain dengan pandangan penghinaan
iv. Melihat keaiban orang lain.

b. Menjaga telinga
- Jauhilah telinga kita dari mendengar perkara-perkara yang bid'ah atau perkara yang jahat atau perkataan yang sia-sia atau menyebut-nyebut kejahatan orang lain. Gunakanlah telinga yang dianugerah oleh Allah s.w.t. kepada kita ini dengan mendengar perkara-perkara yang bertepatan dengan landasan Al-Quran dan As-Sunnah.

c. Menjaga lidah
- Gunakanlah lidahmu pada menyatakan kebenaran dan kebaikan dan kekanglah ia dari menyebut-nyebut perkara yang maksiat. Renungkanlah hadith dari Rasulullah s.a.w. ini:

"Sesungguhnya seseorang itu terkadang bercakap dengan satu percakapan dengan tujuan supaya orang lain menjadi tertawa dengan sebab percakapannya itu. Dia tidak menyangka bahawa perkataan itu akan menyebabkan dirinya dihumbankan ke dalam api neraka selama tujuh puluh tahun." (HR At-Tirmizi daripada Abu Hurairah r.a.)

Oleh yang demikian, jauhilah lidahmu dari lapan perkara:
i. Bohong
ii. Menyalahi janji
iii. Mengumpat orang
iv. Berdebat atau bertengkar dan suka membantah perkataan orang lain
v. Memuji diri sendiri
vi. Melaknat
vii. Mendoakan celaka bagi orang lain
viii. Berguarau, mengolok-olok dan mengejek orang lain.

Perkara yang diharuskan mengumpat:
i. Mengadukan kezaliman di hadapan hakim,
ii. Ketika bermesyuarat memperbaiki kesalahan seseorang,
iii. Ketika meminta fatwa daripada mufti/orang alim,
iv. Ketika memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak terikut-ikut dengan per4buatan mereka yang melakukan kesalahan,
v. Ketika menyebut seseorang yang telah dikenali dengan aibnya seperti kita menyebut orang yang masyhur dengan nama seperti 'Mat Pendek' dan sebagainya,
vi. Menyebut kesalahan seseorang yang sudah tidak malu menzahirkan kefasikkannya seperti orang yang suka meminum arak di hadapan orang ramai dansebagainya.

d. Menjaga perut
- Dengan tidak memakan benda-benda yang syubhah dan haram.

e. Menjaga kemaluan
- Renungkanlah ayat di bawah:

"Dan mereka yang selalu menjaga kemaluan mereka, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau apa-apa yang mereka miliki (daripada hamba jariah) maka mereka tidak tercela." (Al-Mukminun:5-6)

f. Menjada dua tangan
- Jagalah ia dari memukul seseorang yang muslim (tanpa hak) dan menzalimi semua makhluk Allah s.w.t. Penulisan juga hendaklah diteliti kerana ianya lebih tajam daripada mata pedang.

g. Menjaga dua kaki
- Jauhilah dari menuju ke tempat-tempat maksiat dan menuju kepada sultan yang zalim bagi meminta habuan dunia daripadanya.

2. Cara-cara meninggalkan maksiat batin (hati):
a. Tinggalkan sifat hasad
b. Tinggalkan sifat riak
c. Tinggalkan sifat ujub

Wallahu'alam.

No comments: