Tuesday, December 16, 2008

Hijab: Suatu Tuntutan.

Semakin ramai antara kita yang semakin jauh dari Islam sehinggakan kita seringkali melakukan maksiat secara sedar atau sebaliknya. Antara contoh yang paling hampir dengan kehidupan seharian kita adalah dalam soal "hijab". Sebagai contohnya, lelaki dan wanita dituntut agar sentiasa menundukkan pandangan, adab berbicara antara lelaki dan perempuan dan berbagai lagi persoalan yang dianggap remeh oleh sebilangan umat Islam masa kini.


Kaum wanita masa kini semakin melupakan kewajipan mereka terhadap perintah hijab yang termaktub dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Islam amat menitikberatkan persoalan hijab ini bagi menaikkan martabat wanita di mata masyarakat dan sekaligus dapat mengelakkan perlakuan yang tidak baik terhadap mereka tetapi sayang sekali perintah Allah s.w.t. ini dipandang sepi. Mereka seolah-olah menganggap persoalan ini bakal mengongkong kebebasan yang sedang mereka kecapi sekarang ini yang hanya bersifat sementara kerana akhirat jualah tempat yang tinggal kita yang kekal abadi.


Kita juga acapkali membaca di dada-dada akhbar setiap hari ada saja insan yang tidak berdosa dibuang di merata-rata tempat kerana perbuatan maksiat yang dilakukan oleh manusia. Mengapa kes pembuangan bayi, sumbang mahram, zina, rogol, berpacaran dan banyak lagi kes-kes maksiat yang tidak dapat disenaraikan di sini sering menghiasi dada-dada akhbar? Tepuk dada, tanyalah iman, InsyaAllah persoalan ini akan terjawab dengan bimbingan iman di dada.


Wahai pemuda-pemudi harapan agama, marilah sama-sama kita kembali ke jalan yang diredhai Allah s.w.t. dengan dimulai dari dalam diri kita sendiri. Pakaian yang dipakai boleh melambangkan personaliti kita. Berpakaianlah mengikut garis panduan dan akhlaq Islam dan bukannya mengikut trend barat yang semakin ceria mewarnai kehidupan masyarakat kita masa kini.


Ingatlah, golongan yang bencikan Islam akan sentiasa menjenguk dan mengintai peluang yang ada untuk menyesatkan kita dari petunjuk Islam yang sebenar. Agak sukar bagi mereka memisahkan umat Islam dari Al-Quran tetapi tidak sukar untuk mencampur-adukkan antara Islam dan bukan Islam. Percampuran sebeginilah yang mereka mahukan agar pada suatu hari kelak kita tidak dapat membezakan lagi yang mana satu Islam dan yang mana satu kafir kerana kedua-dua telah sebati dengan kehidupan seharian kita. Di kaca-kaca TV seringkali ditayangkan keburukan bagi mereka yang menutup aurat secara Islam. Inilah perancangan yahudi dan nasara yang cukup licik bagi mengelirukan umat Islam.


Wahai pemuda-pemudi Islam, berakhlaqlah dengan akhlaq Islam dan berpakaianlah dengan pakaian yang digariskan oleh Islam, InsyaAllah kita akan selamat di bawah lindungan rahmat Allah s.w.t. selalu. Janganlah pula kita menunggu untuk dipakaikan dengan pakaian Islam setelah roh terpisah dari jasad. Ketika itu sejuta penyesalan sekalipun tidak berguna lagi. Gunakanlah kesempatan yang masih berbaki ini dengan mengamalkan Islam secara total dalam setiap detik kehidupan yang dilalui ini.


Peringatan buat diriku yang alpa.....


Wassalam.

No comments: