Monday, December 29, 2008

Pesanan Untuk Diriku Yang sering Lupa dan Alpa.....


Assalamu'alaikum w.b.t.

Setelah membaca dan meneliti bait-bait yang tercatat di dada-da akhbar, alangkah sedih sekali, bilamana seluruh umat Islam menyambut ketibaan tahun baru 1430 Hijriah, sahabat-sahabat kita di Palestib dihujani dengan peluru dari segenap sudut. Beratus-ratus nyawa terkorban. Ada anak yang kehilangan ibu dan ayahnya, ada isteri yang menjadi janda, ada suami yang kehilangan isteri tersayang dan pelbagai lagi kisah sedih yang tidak dapat diungkapkan di sini. Yang menjadi persoalannya sekarang, apakah peranan kita sebagai seorang Muslim dalam menangani masalah yang telah sekian lama berlanjutan ini, seolah-olah yang tiada berkesudahan? Apakah kita masih lena diulik mimpi-mimpi indah yang tidak sedikit pun memberi impaknya kepada sahabat-sahabat kita yang ikhlas berjuang di Palestin?

Namun, masih ramai antara kita yang menganggap isu Palestin ini adalah bukan isu Islam bahkan ianya hanya isu kemanusiaan semata-mata. Pada pendapat saya, suara-suara dan pendapat-pendapat yang sedemikian serta penyokong-penyokongnya adalah dari kalangan mereka yang boleh dianggap manusia yang bacul, pengecut, penakut dan 'pondan' dalam rencah perjuangan. Kerana ketakutan terhadap kuasa besar barat, mereka sanggup menggadaikan maruah agama dengan berselindung di sebalik kebaculan dan kepincangan akhlak mereka sendiri. Terasa kebencian terhadap manusia yang sedemikian amat kurasakan sehingga hendak menyebut nama mereka sekalipun aku benci. Mereka yang bersifat sedemikian lebih bahaya dan merupakan duri dalam daging yang akhirnya akan menyebabkan 'barah' dalam masyarakat.

Oleh kerana yang demikianlah, kita dapat melihat masyarakat kita sekarang ini sedang diulit kemewahan yang tidak berpaksikan ajaran Islam. Anak-anak muda kita lebih memikirkan tentang merempit dari isu Palestin. Anak-anak muda kita juga lebih banyak terpegun dengan budaya 'hedonisme' dari 'menadah' di majlis-majlis ilmu yang banyak kedapatan di masjid dan surau di serata tempat. Salah siapa???...

Soal melantik pemerintah juga sekarang ini dipandang sepi oleh masyarakat kita. rasuah, kronisme, nepotisme, politik wang dan berbagai-bagai 'isme' lagi sedang rancak mewarnai politik negara kita yang tercinta. Rupa-rupanya ramai antara kita yang lupa sejarah. Masih ingatkah lagi pada sebab-sebab kejatuhan Empayar Melaka dalama tahun 1511 yang begitu masyhur itu? Tidakkah ianya disebabkan perkara-perkara yang sebutkan tadi selain faktor kedatangan Portugis? Sejarah mengajar kita berfikir tentang kesilapan dan keagungan masa silam, tetapi kita hanya memandang sepi tentang peri pentingnya pengetahuan sejarah. Oleh yang demikianlah, kita seringkali ditipu dan bakal dihina pada suatu hari nanti sekiranya kita terus menerus memandang sepi terhadap sejarah. Yang sedihnya, sekarang ini kita lebih menitikberatkan soal seni, drama dan tarian dari perkara yang lebih berfaedah.

Ingatlah wahai mereka yang memegang tampuk pemerintahan (dari sekecil-kecil konsep pemerintahan hingggalah sebesar-besarnya), janganlah kamu leka dibuai kemewahan dunia yang sementara hingga lupakan balasan Allah s.w.t. di akhirat kelak. Ingatlah, malaikat maut sentiasa mengintaimu tanpa jemu dan leka. Apabila tiba saat yang ditentukan oleh-Nya, nyawa akan terpisah dari jasad, kemudian kamu akan diperhitungkan di alam barzakh sebelum pengadilan yang besar di akhirat kelak. Adakah kamu merasakan yang kamu telah menjalankan hukum Allah s.w.t. dengan sebenar-benarnya? Adakah kamu telah meletakkan Al-Quran dan As-Sunnah pada tempat yang sepatutnya? Fikirkanlah wahai manusia, selagi masih ada waktu yang diberikan oleh Allah s.w.t...


Wassalam.

No comments: