Sunday, December 28, 2008

Ma'al Hijrah: Menjana Perubahan


Assalamu'alaikum w.b.t.

Ma'al Hijrah 1430 semakin mencerahkan suasana kehidupan umat Islam yang sungguh mencabar ini. Namun, itulah hakikat kehidupan kita sebagai hamba-Nya yang mesti sentiasa patuh dan taat pada perintah-Nya dalam melayari bahtera kehidupan di dunia yang fana ini. Itulah juga yang merupakan asam garam dan pahit manis kehidupan yang akan dilalui oleh setiap manusia. Cabaran dan onak duri kehidupan menjadikan kita lebih matang dalam menilai sesuatu perkara yang bakal kita tempuhi.

Banyak sekali peristiwa pahit manis yang telah dilalui sepanjang 1429 Hijriah yang bakal melabuhkan tirainya pada petang ini. Jadikanlah ianya sebagai sejarah yang bakal dijadikan panduan dalam menepuhi hari yang mendatang. sejarah bukan untuk dilupakan atau hanya untuk dikenang tetapi sebagai pengajaran agar kita lebih menilai erti kehidupan yang sebenar.

Tekadkan dan bulatkan azam kita bagi menjadi seorang muslim yang benar-benar yakin akan janji-janji Allah s.w.t. bahawa perjuangan menegakkan Islam di muka bumi ini yang disertai dengan keikhlasan dan taqwa kepada-Nya bakal mendapat syurga-Nya di akhirat kelak. Janganlah kita terpedaya dengan tipu daya keduniaan yang bersifat sementara ini dengan menggadaikan balasan di akhirat yang kekal abadi.

Perjuangan menegakkan Islam memang memerlukan pengorbanan yang tinggi. Darah, airmata, peluh dan keringat, harta benda serta waktu adalah resepi dalam perjuangan. Adakalah kita terasa seakan tidak mampu menghadapi segala rencah perjuangan tersebut, namun, kesabaran dan keikhlasan adalah kunci kepada kejayaan yang bakal dikecapi. Ingatlah Allah s.w.t. akan tetap bersama-sama kita dalam menegakkan Islam yang tercinta ini. Biarlah sejuta badai melanda, bahtera perjuangan ini mesti tetap diteruskan pelayarannya. Tekad dan azam yang bulat mestilah dipaksikan kepada mencari keredhaan Allah s.w.t.

InsyaAllah, Ma'al Hijrah yang bakal menyinar ini akan lebih mematangkan kita dalam menempuhi kehidupan ini. Walau apa jua halangan melanda perjuangan menegakkan Islam di muka bumi Allah s.w.t. ini akan tetap diteruskan sekalipun nyawa terpisah dari jasad.

Teringat kembali keadaanku 10 tahun yang lalu. Hijrah yang telah kulakukan tersebut terbukti memberikan aku seribu erti kehidupan yang sebenar. Inilah hakikat kehidupan. Kenangan dihina, ditinggalkan kawan dan rakan serta keperitan mendapatkan wang ringgit bagi meneruskan kehidupan amat dirasai bila ada manusia yang mengaku dirinya Islam tetapi sebenarnya hipokrit disebabkan harta dan pangkat. Itu hanyalah sekelumit dari pahit getir perjuangan yang bisa aku titipkan dalam warna kehidupanku. Kini aku merasai kemanisannya. InsyaAllah, aku berazam akan lebih menggandakan usahaku untuk memartabatkan Islam yang tercinta pada tempatnya. Ya Allah, berikanlah aku kekuatan dalam menempuhi segala ranjau dan onak duri perjuangan ini. Hanya pada-Mu aku berserah....

Wassalam.

No comments: